Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menempelak Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy ekoran kenyataan yang dibuat berhubung isu kontrak pengendali kantin Politeknik Seberang Perai (PSP).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, kenyataan Ramasamy yang mengaitkan isu itu dengan ‘dasar pro-Melayu terang-terangan’ Kerajaan Persekutuan boleh dianggap sebagai suatu bentuk hasutan.
Menurutnya, kenyataan sedemikian jika tidak dibendung boleh mewujudkan salah faham dan ketegangan antara kaum dan agama di negara ini.
“Saya sarankan Ramasamy tidak mengambil kesempatan untuk mengemis laba politik dengan cubaan untuk meniup sentimen kemarahan kaum India yang beragama Hindu terhadap Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam dalam sidang akhbarnya, Ramasamy seperti dilaporkan portal berita didakwa berkata, ramai bukan Melayu masih percaya kontraktor makanan dalam isu kontrak pengendali makanan kantin PSP merupakan mangsa diskriminasi kaum dan agama.
Isu itu bermula selepas permohonan seorang pengusaha makanan India, G. Gobi Krishnan untuk mendapatkan satu ruang gerai dalam kontrak menyewa dan mengurus kantin di PSP tidak berjaya.
Jawatankuasa Sebut Harga PSP yang membuat penilaian menolak sebut harga Gobi Krishnan bersama tiga penender Melayu lain kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam borang permohonan.
Dalam pada itu, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, sebagai Exco kerajaan negeri, Ramasamy seharusnya lebih bertanggungjawab dan boleh menghubungi pihak pengurusan PSP secara rasmi untuk mendapatkan penjelasan sebenar.
Kata beliau, tindakan memanggil sidang akhbar dan membuat pelbagai tuduhan liar serta tidak berasas terhadap beberapa individu serta mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap PSP bukan tindakan yang wajar.
“Saya memuji tindakan Pemuda MIC negeri yang mengambil inisiatif berjumpa dengan Pengarah PSP untuk mendapatkan penjelasan.
“Ini merupakan satu tindakan berdasarkan pemikiran yang terbuka dan sangat rasional,” katanya.
No comments:
Post a Comment