Wednesday, July 5, 2017

MALAYSIAN MAVERICK’ LAWAN 'MALAYSIA OFFICIAL 1'



Oleh: Faizal Riduan

Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia paling berkuasa selama 22 tahun digambarkan paling kritikal dan sampai kepada klimaks oleh wartawan Asian Wall Street Journal, Barry Wain dalam bukunya “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times.”

Kontroversi buku ini apabila Wain mendedahkan dakwaannya bahawa Mahathir bertanggungjawab dalam kerugian dana negara lebih RM100 bilion dalan urus tadbir dan pengurusan ekonomi negara. Kritikan kepada Mahathir telah bermula lebih awal semasa krisis ‘Team A’ dan ‘Team B’ pada tahun 1987 dan makin memuncak ketika pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di dalam negara, Mahathir digambarkan sebagai seorang wira yang begitu garang menyerang George Soros dan spekulator mata wang sebagai punca kejatuhan nilai Ringgit daripada RM2.52 sedolar AS kepada RM4.596 sedolar AS ketika Mesyuarat Tahunan Bank Dunia dan Tabungan Kewangan Antarabangsa di Hong Kong pada 1997.

Ironisnya sebelum itu, Mahathir membenarkan Bank Negara Malaysia (BNM) melibatkan diri dalam aktiviti spekulasi mata wang sehingga mengakibatkan kerugian besar sebanyak RM10.1 bilion pada 1992 dan RM5.7 bilion pada 1993. Gabenor Bank Negara, Jaffar Hussein kemudian meletakkan jawatan walaupun mendapat pembelaan Mahathir dan Anwar.

Mahathir kemudian menjustifikasikan pemecatan Anwar yang dikatakan sebagai pro-IMF dan Bank Dunia sehingga dikaitkan sebagai ajen kuasa asing. Walhal dalam dasar penswastaan yang bermula pada pertengahan 1984, Mahathir sendiri menurut kempen penswastaan antarabangsa yang diterajui Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia serta dimulakan lebih awal oleh Margaret Thatcher di Britain pada 1979 dan Ronald Reagen di Amerika Syarikat pada 1980.

Sebelum itu, sosok Mahathir disorot dengan penuh akademia oleh R S Milne dan Diane K Mauzy, “Malaysian Politics Under Mahathir” (1999); John Hilley, “Malaysia, Mahathirism, Hegemony and The New Oppostion” (2001); In Hwong Hwang, “Personalized Politics”; dan Khoo Boo Teik, “Paradoxes of Mahathirism”. Ini tidak termasuk penulisan buku gosip politik seperti tulisan prolifik Syed Hussein Al-Attas.

Berbeza dengan buku ‘gosip’ Syed Hussein, buku Wain mempunyai nilai akademik apabila diwasitkan oleh dua penilai, nota kaki mencecah 1,326, mempunyai indeks, diterbitkan oleh penerbit yang berwibawa dan terdapat tiga temuramah dengan Mahathir sendiri! Malangnya, Mahathir juga tidak menjawab dakwaan buku ini dalam biografinya, “Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad” yang diterbitkan tiga tahun kemudian.

Tulisan Mahathir dalam bab “Kejatuhan Mata Wang” hanya mengakui secara umum, “Seperti mana orang lain, kita juga membuat spekulasi tetapi tidak memanipulasi.” Peliknya enam tahun sebelum itu, Mahathir sendiri membersihkan nama Soros menjadikan fakta dalam buku tersebut tidak relevan.

“Soros tidak bertanggungjawab terhadap krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997,” jelas Mahathir pada pertemuan dramatik di Kuala Lumpur pada 2006 dengan ‘Lelaki Yang Memufliskan Bank England’ pada tragedi 16 September 1992.

Jawapan Soros yang menyifatkan Mahathir sebagai ancaman kepada negaranya sendiri adalah lebih konsisten, “Dia memilih menyalahkan saya daripada mengakui kesilapannya itu yang menyebabkan krisis kewangan berkenaan.”

Jawapan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Menteri Luar semasa melawat Paris pada 1997 masih boleh digunakan untuk menggambarkan komentar Mahathir terhadap Najib.

“Apa yang dikatakan oleh perdana menteri ada kebenarannya tetapi beliau bercakap sebagai seorang ahli politik bukan pakar ekonomi,” kata Abdullah menggambarkan bahawa Mahathir sebenarnya bercakap sebagai seorang ahli politik dan bukan pakar kewangan atau pelaburan.

Dengan rekod urus tadbir dan pengurusan ekonomi negara yang tidak telus selama lebih dua dekad, bagaimana boleh Mahathir menyoal Najib sedang Mahathir sendiri tidak menjawab persoalan-persoalan penting sepanjang pemerintahnya?

Dalam keterujaan rakyat menantikan perbicaraan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mendapatkan semula aset 1MDB bernilai RM7.3 bilion iaitu sebahagian daripada dakwaan penyelewengan RM19.3 bilion dan peranan 'Malaysia Official 1', ironisnya Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh BNM yang menyebabkan kerugian RM15.8 bilion, 25 tahun yang lalu hanya akan tinggal di atas kertas putih dan wang tersebut tidak akan kembali semula.

Jika DoJ boleh menyiasat dakwaan Sarawak Report dan editornya Clare Rewcastle-Brown, mengapa tidak siasatan serius juga dibuat terhadap dakwaan buku Malaysian Maverick dan penulisnya Barry Wain?

#MelayuMudahLupa #TunM #DrM #Mahathir #Mahathirisme

No comments:

Post a Comment