Monday, June 5, 2017

SIVARASA BIADAP




Tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berucap di ruang Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang, Sela­ngor baru-baru ini, adalah melampaui batas kerana memperkecilkan agama Islam dan melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sehubungan itu Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan le­bih keras perlu dikenakan terhadap wakil rakyat pembangkang itu yang tidak menghormati agama Islam.

“Macam mana dia boleh ma­suk sampai ke situ, kalau setakat di bawah ada khemah dan lain-lain tidak apa, tetapi sampai ke atas maknanya dia langsung tidak peduli tentang agama kita dan tidak hormati agama kita.

“Saya berharap tindakan diambil sebagai pengajaran kepada orang lain kerana amaran sudah diberi beberapa kali dan mereka masih lagi buat tidak peduli,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Darul Fikri Bera, di sini hari ini.

Pada 24 Mei lalu, Sivarasa didakwa menggunakan ruang solat Masjid An Nur sebagai tempat berpolitik yang menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin.

Ismail Sabri menambah, pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen itu yang jelas tidak menghormati agama Islam serta mengikut peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, tindakan wakil rakyat pembangkang yang berterusan melakukan tindakan seperti itu di masjid menunjukkan mereka tidak peduli kepada sensitiviti umat Islam.

“Dia tidak boleh bagi alasan sekejap atau lama (memasuki masjid) kerana itu tidak menjadi persoalan, yang menjadi persoalan ialah dia masuk ke situ yang sudah dianggap melanggar peraturan dan tidak menghormati kesucian Islam,” katanya.


No comments:

Post a Comment