Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) menyelar kesanggupan beberapa parti politik tempatan mendapatkan bantuan pihak asing demi memenuhi agenda masing-masing yang diyakininya bakal menghancurkan negara.
Tegas beliau, perkara itu terbukti apabila ada kerajaan Islam pada masa lalu tersungkur akibat campur tangan asing.
Menurutnya, al-Quran yang menjadi petunjuk menjelaskan ayat-ayat melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman.
Dalam lipatan sejarah katanya, Islam yang bertapak di Sepanyol selama lapan abad kecundang apabila ada kalangan rajanya menjemput pihak asing supaya membantu berdepan krisis dalaman yang akhirnya membuatkan cahaya Islam dipadamkan di negara itu sehingga kini.
Malah katanya, sejarawan melaporkan kejayaan penjajah menjatuhkan Kerajaan Melayu Islam Melaka berlaku apabila ada kelompok tertentu menjemput penjajah supaya menjatuhkan kerajaan atas dakwaan berlakunya kesalahan atau kezaliman, yang seterusnya membuatkan rantau ini dijajah dan dibahagikan.
“Sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran.
“Akhirnya selesai dengan selamat, kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga.
“Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam surat terbukanya kepada parti-parti politik negara ini yang dimuatkan di laman web parti itu hari ini.
No comments:
Post a Comment