Thursday, May 4, 2017

TANGANI DAESH : MALAYSIA DIIKTIRAF DUNIA




Kemampuan Malaysia menangani ancaman pengganas Daesh terus mendapat pengiktirafan dunia apabila ba­nyak negara luar menyatakan minat mereka terhadap usaha kerajaan mewujudkan Pusat Tindakan Mesej atau Counter Messaging Centre (CMS).


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, berdasarkan maklum balas yang dite­rima, negara-negara luar didapati memuji serta yakin dengan CSM yang ditubuhkan bagi menangkis propaganda pengganas Daesh daripa­da mempe­nga­ruhi rak­yat Malaysia.

Menurutnya, beberapa negara te­lah pun mengadakan lawatan ke pusat itu untuk mengetahui bagaimana ia beroperasi dalam membantu pihak berkuasa.

“Ini berikutan di dunia ini hanya ada dua sahaja (CMS) iaitu di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.

“Pihak berkuasa Bahrain pun berminat melihat CMS ini. Walaupun ketika ini CMS beroperasi secara ma­nual tetapi dalam jangka masa panjang pusat itu akan mendatangkan kesan (baik),” katanya dalam sidang akhbar selepas me­lawat Hospital Shah Alam sempena Hari Peringatan Polis ke-210 di sini hari ini.


Pada masa sama, Khalid menyifatkan CMS penting kerana negara perlu bergerak lebih pantas dalam memantau arah gerakan militan.

Katanya, pakar-pakar agama dan teknologi maklumat (IT) turut dilibatkan bagi menangkis agenda radikal Daesh melibatkan pengguna di media sosial.

Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu pihaknya sudah me­nemui keluarga pengganas Daesh rakyat Malaysia, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi di Melaka yang dikatakan terkorban dalam serangan dron di Ma'dan, Syria baru-baru ini.

“Kita masih meragui laporan itu dan masih menyemak laporan kesahihan kematian Wanndy. Selain itu, kita tidak menolak kemungkinan ada sebab lain mengenai dakwaan kematian ketua militan berkenaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, mengulas tentang tangkapan dua raja dadah di Thailand sebelum ini, Khalid menegaskan pihaknya sedang mengesan sekiranya terdapat rakyat negara ini terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang didalangi kedua-dua suspek berkenaan.

“Kita telah hantar pegawai kita untuk dapatkan risikan berhubung penglibatan individu lain di Malaysia,” katanya.



No comments:

Post a Comment