Wednesday, May 3, 2017

PERKASA PERTAHAN ZAKIR NAIK DARIPADA SERANGAN HINDRAF





Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) telah menghantar surat balas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mempertahankan Dr. Zakir Naik, susulan tindakan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang melobi badan antarabangsa itu agar status penduduk tetap pendakwah tersebut dibatalkan.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, selain mempertahankan Dr. Zakir, surat yang dihantar kepada Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan PBB itu juga bertujuan menyelamatkan maruah Malaysia daripada dilabel sebagai melindungi pengganas.

Katanya selain PBB, surat itu turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Persuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Ketua Polis Negara dan Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB.


Jelasnya, kesemua surat yang dihantar itu mengandungi pe­nerangan berhubung status dan persepsi sebenar rakyat Malaysia yang senang dengan kehadiran Dr. Zakir dan meminta tuduhan liar oleh Hindraf diabaikan.

“Perkasa risau kerana apa yang dibawa oleh Hindraf adalah tidak betul dan mahu memaklumkan kepada semua pihak berhubung situasi sebenar berkaitan Dr. Zakir.

“Malah, tindakan Hindraf melobi itu telah tersebar di laman-laman sosial dan ini merisaukan sekiranya orang ramai mempercayai perkara yang tidak betul.

“Saya nasihatkan Hindraf ja­ngan membuat kenyataan-kenya­taan yang bersifat sensasi dan perlu lebih bertanggungjawab seperti yang dinasihatkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 29 April lalu, Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy meminta Jawatankuasa Memerangi Keganasan PBB menasihatkan Malaysia selaku negara anggota untuk tidak memberi perlindu­ngan, menarik balik status penduduk tetap, membekukan aset serta aktiviti dan mengeks­tradisi Dr. Zakir yang didakwa sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa India.

Kata Ibrahim, Perkasa tiada niat mencari masalah dengan Hindraf dan mahu isu mengenai Dr. Zakir diselesaikan secara baik.


No comments:

Post a Comment