Wednesday, May 3, 2017

AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PERTUBUHAN HARAM HINDRAF




Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan haram Hindraf termasuk menyenaraihitamkan pemimpin mereka kerana dikhuatiri memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya yang menyifatkan langkah seumpamanya perlu memandangkan Hindraf dilihat banyak mempertikaikan isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

“Sebab itu, kita minta pihak berkuasa segera bertindak, senaraihitamkan Hindraf. Mereka tidak ramai tetapi mereka perosak yang boleh memberi ancam­an kepada negara.



“Tindak-tanduk mereka dilihat menjurus terhadap penghinaan kepada Islam. Sebab itu kami berpendapat Hindraf telah melanggar adab-adab serta tidak menghormati Perlembagaan Per­sekutuan,” katanya ketika dihu­bungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai tindak-tanduk Hindraf kebelakangan ini yang dilihat mempertikaikan perkara berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Pertubuhan itu juga dengan lantang mempertikaikan keputusan kerajaan memberi taraf penduduk tetap kepada Dr. Zakir Naik sehingga menulis kepada Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menyifatkan pendakwah tersebut sebagai ancam­an kepada keselamatan negara.

Dalam pada itu, baru-baru ini juga, satu video dikaitkan dengan Hindraf yang menghina orang Melayu pada 2007 menjadi tular semula, namun pengerusinya, P. Waythamoorthy menafikan.


Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad pula mengingatkan Hindraf supaya tidak bermain api dengan orang Melayu dan Islam yang selama ini telah banyak bertolak-ansur untuk memastikan keharmonian negara terus dipelihara.

Beliau pada masa sama senada dengan Aminuddin meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan itu yang dikhuatiri akan terus mencetuskan ketegangan dalam kalangan penduduk di negara ini.

“Orang Melayu mempunyai maruah dan telah banyak diuji selama ini tetapi kami masih mampu bertahan serta bertole­ransi.

“Tetapi dengan pertikaian dan penghinaan yang berterusan, dikhuatiri orang Melayu akan hilang sabar. Imbas semula sejarah, jangan bangkitkan kemarahan orang Melayu,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment