Wednesday, May 3, 2017

INSAFILAH KEJATUHAN TIGA EMPAYAR ISLAM




Umat Islam wajar menghayati dan menginsafi kisah kejatuhan tiga kerajaan Islam iaitu kerajaan Abbasiyah, kerajaan Islam Sepanyol dan Uthmaniah supaya perkara sama tidak berulang di negara ini.


Dekan Fakulti Pe­ngurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) Brunei Darussalam, Prof. Madya Dr. Mahayudin Yahaya (gambar) berkata, pun­ca utama tiga-tiga buah kerajaan Islam tersebut ‘hancur’ adalah perpecahan yang berlaku di antara rakyat dengan pemerintah.

“Hakikat yang perlu diterima ketika ini adalah perpecahan sudah berlaku dalam negara kita dan perpecahan itu sema­kin parah.

“Tiada masalah untuk berbeza pendapat namun perlu ada tole­ransi, setiap masalah yang timbul perlu dibawa berbincang.

Jangan tunggu kepada keruntuhan baru mahu bertindak, masalah ini boleh dise­lesaikan jika masing-masing faham akan kesilapan yang telah dilakukan,” katanya dalam Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahayudin berkata, punca utama mengapa tiga kerajaan Islam itu begitu kuat pada zaman kegemilangan mereka adalah kerana wujud­nya perpaduan yang utuh dalam kala­ngan rak­yatnya.

Jelas beliau, perpaduan itu terhasil daripada sikap wala’ dan taat kepada pemerintah tanpa berbelah bahagi.

“Tanpa kerjasama dan semangat setia kawan tidak akan wujud sebuah negara bangsa yang kuat.

“Sebenarnya wujud kontrak sosial antara pemimpin dengan individu yang dipimpin, jika berlanggar perkara ini maka berlakulah ketidakadilan yang boleh memberi kesan tidak baik kepada masyarakat,” katanya.