Tuesday, September 27, 2016

PERANGI RASUAH MUSUH NEGARA


Rasuah berasal dari perkataan arab iaitu yang berbunyi al-risywah. Dalam Al- Quran ia merupakan salah satu perbuatan yang dianggap sebagai jenayah, batil dan amat ditegah di dalam Islam. Walau bagaimanapun, rasuah ini tidak mempunyai maksud yang spesifik di dalam undang-undang Malaysia.
Melalui Transparency International rasuah diklasifikasikan sebagai satu kegiatan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi. Ia menyakitkan semua orang yang bergantung kepada integriti orang dalam kedudukan yang berkuasa.
Amalan rasuah amat bercanggah dengan nilai-nilai moral, etika dan agama majoriti rakyat Malaysia. Ia menyebabkan kerumitan prosedur dan kewangan dalam kehidupan seharian rakyat selain menyumbang kepada ketidakseimbangan sosioekonomi dan menghakis sistem nilai negara Malaysia. Menentang rasuah melibatkan pengurusan polariti antara golongan yang tidak berkuasa dan golongan yang mempunyai kuasa dan budi bicara dalam membuat keputusan.
Kedudukan rasuah Malaysia, menurut Transparency International, telah jatuh ke tangga ke-54 pada tahun 2015 berbanding ditangga 50 pada tahun sebelumnya. walaupun mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada rasuah bukanlah mudah, namun kerajaan sentiasa berusaha bertindak lebih telus, lebih bertanggungjawab dan lebih berorientasikan tindakan.
Rasuah dari segi undang-undang pula merupakan satu perbuatan yang telah mencukupi kepada empat aspek iaitu melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan, penyalahgunaan harta negara, merugikan negara dan memperkaya diri sendiri dan kerabat. Menurut perspektif dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Selain dari perbuatan yang jelas, memberi dan menerima sogokan, mengambil dan memberi sokongan (yang tidak sepatutnya diberi) melalui salah guna kuasa, atau campur tangan dengan motif yang tidak betul juga boleh dianggap sebagai rasuah.
Dari sudut perspektif Islam pula ia bermaksud sogokan, wang suap atau yang seumpama dengannya dengan tujuan yang satu iaitu agar pihak-pihak tertentu dapat mengurus dan menyelesaikan sesuatu hal yang dikehendakinya dengan segera dan menguntungkan.
Berhubung dengan persoalan ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: 
"Mereka suka sekali mendengar perkataan yang dusta lagi sangat suka makan yang haram (seperti wang sogokan dan sebagainya)" 
Hadis nabi SAW ada menyatakan : 
"Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang memberi sogokan dan orang yang menerima sogokan dalam soal hukum menghukum" (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).
Sumber daripada Bahagian Hal Ehwal Islam Sabah (BAHEIS), Ibnu Mas'ud telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut iaitu sogokan (rasuah) dapat berlaku pada tiap-tiap sesuatu, barang siapa yang telah memberi sesuatu pemberian dalam sesuatu pembelaan kepada seseorang supaya pembelaan itu dapat mengembalikan yang hak atau dapat menolak kezaliman (aniaya) lantas diterimanya maka pemberian itu dinamakan sogokan juga.
Rasuah sehingga kini merupakan isu yang sentiasa hangat diperkatakan samada dalam bidang politik, perniagaan, personel awam, penguatkuasaan dan sebagainya. Kerajaan sentiasa memandang serius permasalahan ini. Justeru itu, Pelan Integrasi Nasional dilancarkan oleh Perdana Menteri antara lain sebagai usaha untuk menangani rasuah. Rasuah antara gejala sosial atau jenayah yang sukar di atasi selain daripada gejala dadah di negara kita.
Malaysia telah mempunyai undang-undang yang tegas iaitu Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
i-Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
ii-Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
iii-Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
iv-Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]
Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha membanteras rasuah dari peringkat bawahan hinggalah diperingkat atasan. Kerajaan juga telah mengambil langkah yang lebih signifikan, termasuk mewujudkan Institut Integriti Malaysia pada tahun 2004 untuk mempermudah pelaksanaan Pelan Integriti Nasional dan menaik taraf Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.
Kerajaan juga telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas peringkat atasan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk mengkaji laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap penyelewengan kewangan yang didedahkan oleh laporan itu.
Sejak tahun pertama dilancarkan, NKRA Membanteras Rasuah telah mengadaptasi pelbagai langkah inovatif sejajar dengan hasrat membasmi rasuah, antara lainnya:
●Membina Pangkalan Data Pesalah Rasuah
●Menubuhkan portal MyProcurement di mana lebih 3,500 kontrak telah disenaraikan di laman web,
●Memberi panduan menggunakan surat sokongan,
●Memperkenalkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblower Protection Act 2010)
●Menubuhkan Pelaksanaan Pakatan Integriti (Integrity Pacts) untuk projek Transit Aliran Massa (Mass Rapid Transit).
●Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah
●Pengeluaran garis panduan dalam memberi ganjaran atau pengiktirafan kepada penjawat awam yang membuat aduan rusuah
●Mengendalikan kempen Anti-Rasuah yang lebih interaktif
●Menerbitkan buku kecil Pembaharuan Perkhidmatan Awam
Nyata, insiatif yang telah diambil telah memberi kesan yang ketara dalam menghapuskan jenayah rasuah. Keberkesanan yang sama turut mendapat tempat di hati rakyat dan masyarakat setempat.
Berdasarkan tinjauan oleh Transparency International tentang Barometer Rasuah Malaysia (TIGCB), kadar rasuah negara telah meningkat sedikit dari 48% pada tahun 2010 kepada 49% pada tahun 2011. Walaubagaimanapun, skor Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (Corruption Perception Index, CPI) Transparency International menunjukkan pengurangan daripada 4.4 pada tahun 2010 kepada 4.3 pada tahun 2011.
Hakikatnya, Walaupun ukuran Transparency International tertumpu pada rasuah besar dan bukannya pemantauan keseluruhan usaha NKRA Membanteras Rasuah, kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan aktiviti rasuah dicegah habis-habisan.
Terdapat juga tinjauan lain yang melapurkan pendapat dan sentimen umum yang rata-rata sudah berubah menjadi semakin baik, seiring dengan usaha kerajaan yang semakin mendapat momentum dalam membanteras rasuah.

sumber : Friends of Kedaulatan

No comments:

Post a Comment