Thursday, April 27, 2017

LAPORAN KEMALANGAN BAS EKPRESS BAKAL DIDEDAH




Laporan lengkap berhubung kemalangan bas ekspres di Kilometer (KM) 137.1, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Pagoh yang mengakibatkan 14 kematian dan 16 penumpang cedera pada 24 Disember tahun lalu, akan didedahkan kepada umum tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, laporan lengkap itu telah dikeluarkan, dibentang dan di­terima oleh Kabinet pada 1 Mac lalu.

Kata beliau, analisis komprehensif te­lah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang merangkumi empat aspek utama iaitu keadaan jalan raya dan persekitaran, pembinaan dan reka bentuk bas, operasi bas dan penguatkuasaan.

“Penambahbaikan dari aspek tersebut telah dikenal pasti dan kerajaan komited untuk mengambil langkah sewajarnya ba­­gi meningkatkan tahap ke­se­lamatan perkhidmatan bas di negara ini ter­uta­manya pengajaran daripada insiden yang berlaku di jalan raya,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Yahaya Mat Ghani@Abbas yang meminta kerajaan menyatakan kemalangan bas ekspres yang begitu kerap dan serius serta apakah langkah yang sedang dilakukan untuk memastikan keselamatan penum­pang terjamin.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, makmal kerja Transformasi Bas Ekspres telah diadakan oleh Suruhanjaya Peng­angkutan Awam Darat (SPAD) pada 20 Februari sehingga 7 April lalu untuk membuat penambahbaikan perkhidmatan dan operasi industri bas ekspres di Malaysia.

Kata beliau, laporan kemalangan Pa­goh juga telah diguna pakai sebagai rujukan utama dalam menggariskan transformasi industri bas ekspres di negara ini.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, kadar kematian membabitkan kemalangan jalan raya di negara ini mencatat penurunan.

Katanya, nisbah kemalangan maut bagi 10,000 kenderaan didaftarkan me­nunjukkan kira-kira empat peratus pada tahun 2015, berbanding 2.59 peratus yang dilaporkan pada tahun lalu.

“Sasaran kementerian adalah untuk mencapai nisbah ke­ma­langan maut dua pe­­ratus menjelang 2020 bagi 10,000 kenderaan berdaftar.

“Bagaimanapun, pihak kami dapati kadar kemalangan jalan raya di negara ini mencatat peningkatan iaitu sebanyak 521,466 kes di­­­­­­rekodkan pada tahun lalu berban­ding 489,606 kes dilaporkan pada tahun sebelumnya,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani yang meminta statistik kemalangan jalan raya di negara ini.