Tuesday, April 25, 2017

JERIH PERIH PERJUANGAN UMNO MEMBELA AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR




BUKAN mudah sebe­nar­­nya untuk membina sebuah parti politik.
UMNO sendiri untuk mencapai usia 71 tahun terpaksa menongkah penuh getir arus persada politik negara.

Ada ketikanya tersadung sehingga diharam­kan pada 1988, tetapi bangkit semula dan 
berdiri gagah hingga ke hari ini.

Ada parti yang baru ‘setahun jagung’ se­perti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dikepalai Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Tetapi lagaknya bagai sudah bertahun-tahun dalam arena sehingga ditempelak ahli sendiri.

Ada pula kerana dek keterujaan menubuhkan parti seperti Parti Bebas Rasuah (PBR) dike­tuai Datuk Mohd. Ezam Mohd. Nor sampaikan sanggup ‘mencuri’ parti orang lain.

Kesemua ini kerana begitu ghairahkan kuasa dan jawatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PRU-14 merupakan titik penentu kepada destini rak­yat dan negara.

Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak.

Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis

Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.

Hendaklah selalu be­ringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pe­ngasas membina apa yang dinikmati hari ini.

Sesungguhnya rakyat terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.

Sebaliknya, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, ke­lam dan gelita, dibina atas 
fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju 
lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.

Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kehilangan harta, 
ia boleh dicari ganti.

Jika hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. 
Tetapi jika kecundang dalam perjuangan ini, sudah tidak punya apa-apa lagi pada diri. 
Akan melukut di tepi gantang.

Akhirnya, merempat di tanah sendiri.

Bumi mana tak ditimpa hujan. Laut mana tidak bergelora.
Dan bahagian dunia manakah yang wujudnya orang atau pimpinan atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersadung atau tersalah langkah.

ZULKIFLI JALIL