Thursday, March 2, 2017

TENTERA BERSEDIA HADAPI ANCAMAN NBC



TELOK KEMANG 1 Mac - Tentera Darat mempunyai keupayaan yang mencukupi bagi menangani sebarang ancaman senjata nuklear, biologi dan kimia (NBC) di negara ini.

Malah, sebuah pasukan pertahanan NBC (NBCD) telah dibentuk yang berkeupayaan menguruskan situasi dalam suasana dicemari oleh kesan akibat penggunaan senjata tersebut.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, pasukan itu yang mempunyai kekuatan satu batalion telah mendapat pengiktirafan daripada pasukan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Katanya, pasukan itu ditubuhkan berikutan permintaan daripada PBB dan dipersetujui oleh kerajaan Malaysia untuk siap sedia digerakkan di bawah misi PBB.

“Baru-baru ini kita telah siapkan satu kumpulan untuk digerakkan berkhidmat di bawah misi PBB dan kumpulan daripada pertubuhan itu telah datang membuat pemeriksaan terhadap peralatan dan kesiagaan kita untuk berkhidmat.

“Mereka berpuas hati terutama sekali peralatan dan kenderaan yang mampu beroperasi dalam suasana yang dicemari oleh radioaktif, kimia dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-84 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dekat sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tahap kesiagaan Tentera Darat dalam menghadapi ancaman senjata NBC termasuk penggunaan cecair Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau agen saraf VX.

Agen saraf VX yang diharamkan di seluruh dunia dikatakan menjadi punca kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, baru-baru ini.

Zulkiple menarik perhatian, keupayaan dan pengiktirafan PBB terhadap Tentera Darat bukan semata-mata tertumpu kepada agen saraf VX semata-mata, malah keseluruhan aspek NBC.

“Kelengkapan, latihan, keanggotaan dan kemahiran dalam menangani NBC adalah empat aspek yang diperiksa oleh PBB dan mereka berpuas hati,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment