MENDIDIK serta membesarkan anak memang bukan perkara yang mudah. Pada tahap pembesarannya, anak kerap kali melakukan kesalahan yang adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebagai ibu bapa, ada kalanya perasaan kesal menghampiri kerana kelakuan mereka. Perasaan kesal ini juga kadangkala bercampur dengan kemarahan yang pada akhirnya membawa kepada hukuman kepada anak. Yang pasti sebagai ibu bapa tindakan menghukum adalah dengan tujuan agar si anak menyesal dan pada akhirnya mengharap berubah menjadi insan yang lebih baik.
Itu kalau situasinya ketika di rumah, di mana kita sebagai ibu bapa mempunyai kuasa mutlak terhadap anak-anak sendiri. Bagaimanakah pula jika kesalahan itu dilakukan di sekolah?
Secara kita sedari, sejak kebelakangan ini beberapa kejadian salah laku pelajar sering kedengaran melalui media masa negara ini. Kita juga sering dikejutkan dengan keganasan pelajar sekolah yang kian meningkat dan amat membimbangkan.
Nampaknya masalah disiplin yang mencemaskan dunia pendidikan selama ini masih belum dapat dihalusi malah semakin menjadi-jadi dan merisaukan. Malah, Perdana menteri kita sendiri pernah mengatakan bahawa masalah disiplin di negara kita kini sebenarnya sudah berada di tahap yang gawat dan perlu segera dibendung.
Berikutan itu pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya Kementerian Pendidikan, sekolah dan ibu bapa harus berusaha memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah yang konkrit bagi menyelesaikan masalah ini. Tetapi malangnya, setiap pihak lebih cenderung menuding jari antara satu sama lain. Akibatnya masalah disiplin terus menjadi serius.
Dalam menangani masalah ini, semua pihak amat perlu memainkan peranan masing-masing. Apa yang penting sekarang ini ialah semua pihak perlu berganding bahu melaksanakan bentuk tindakan yang sewajarnya sebelum segala-galanya menjadi parah dan tidak dapat dibendung lagi.
Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), menganggarkan lebih kurang satu sehingga dua peratus pelajar sekolah terlibat dengan masalah disiplin. Walaupun peratusannya nampak kecil namun jika dikira daripada angka pelajar, ia mencecah lebih dari 3,000 orang.
Antara kaedah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan dalam mengatasi isu disiplin pelajar adalah dengan membuang atau menggantung persekolahan pelajar yang terlibat.
Bagi penulis, Kementerian Pendidikan perlu memastikan hukuman tersebut tidak menafikan hak asasi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Walau apa pun yang terjadi atau apa sahaja kesalahan yang dilakukan, hak kanak-kanak iaitu mereka yang berusia 18 tahun ke bawah tidak boleh dinafikan untuk mendapatkan pendidikan. Walau apa cara sekali pun atau apa sahaja kesalahan yang mereka pernah lakukan.
Seperti yang kita ketahui, disiplin adalah satu bentuk pengurusan tingkah laku. Dahulu kala kita juga pernah menjadi muda dan pelajar. Kita juga mengetahui, pelajar bermasalah ketika ini sedang mengalami kekeliruan dan tekanan luar dalam mencari identiti diri mereka sendiri. Mereka secara keseluruhannya mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif akibat kurangnya atau keterlaluannya penjagaan dan kawalan dari orang dewasa.
Malah ketika ini, Kementerian Pendidikan ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Mungkin pegawai-pegawai kementerian harus melakukan lawatan tinjauan terhadap program lepas waktu sekolah (after school programme) yang diperkenalkan di negara-negara seperti Australia dan New Zealand.
Konsep adaptasi yang bersesuaian dengan budaya kita boleh dijadikan pembaharuan agar dapat meminimumkan situasi disiplin pelajar kita.
Di samping itu, konsep menghukum berbentuk mendidik juga perlu diperkenalkan. Sebagai contoh, jika pelajar itu dihukum gantung sekolah, bukankah ia lebih merumitkan keadaan? Sedangkan sekolah harus berpaksikan kepada mendidik anak bangsa.
Bagi penulis, kita harus selami dahulu apa yang menjadi minat mereka dan kita gilap bakat yang tersembunyi yang mereka ada.
Kiranya mereka meminati motor, sebagai contoh, mungkin ketika tempoh pergantungan mereka kita boleh perkenalkan konsep perantis pemotoran kepada mereka. Di sebalik itu, secara tidak langsung, mereka dapat menyelami ilmu baharu dan membentuk disiplin diri.
Pihak sekolah perlu bermula dari sekarang mengumpul pangkalan data mereka yang berada dalam industri yang sanggup membantu untuk memajukan mereka yang bermasalah ini. Penulis pasti, mereka yang berjaya dalam industri ini juga dahulu kala pernah menjadi nakal. Penulis pasti dan yakin hanya jauhari yang mengenal manikam.
Jangan kita menidakkan cadangan ini hanya kerana kerenah birokrasi. Setiap yang baik pastinya sukar untuk dimulai, namun jika kita mempunyai matlamat yang satu, tiada rintangan yang tidak boleh diatasi.
Ingatlah, mereka ini pewaris negara, adakah kita ingin mewariskan negara ini kepada mereka yang bermasalah? Jika kita sudah nampak masalahnya, mengapa kita tidak mencari jalan penyelesaian terbaik.
Yang pasti, untuk melentur buluh, hanya boleh dilakukan ketika masih dalam keadaan rebung.
DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
No comments:
Post a Comment