Wednesday, March 22, 2017

PPBM BOLEH BLAH, PI MAIN JAUH-JAUH !




Pas memuktamadkan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas parti itu sah menyertai pakatan pembangkang yang di­ke­tuai DAP semalam.

Perkembangan itu sekali gus membayangkan Pas berkemungkinan hanya akan bergerak bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dalam blok ketiga pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu tidak akan meneruskan lagi perbincangan dengan PPBM dan segala rundingan yang dijalankan sebelum ini terbatal.


“Dasar kita, rundingan itu berjalan selagi PPBM tidak sertai pakatan pembangkang, sekarang sudah rasmi sertainya, maka ber­hentilah setakat itu, tidak ada perbincangan, tidak ada lagi rundingan.

“Bila sudah jadi isteri orang (bersama pakatan harapan), tunggu apa lagi, putuslah. Dulu belum jadi isteri orang, kita boleh bersembang-sembang, berbincang, sekarang sudah tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

PPBM yang diasaskan oleh be­­kas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sah bergabung dengan parti-parti yang pernah menjadi musuh politik beliau di dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Presi­den PAN, Mohamad Sabu, sekretariat pakatan itu akan me­ngutus surat kepada PPBM untuk memaklumkan perkara tersebut.

Sebelum ini, Pas yang diwa­kili Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala rakan sejawatnya daripada PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengadakan pertemuan serta bercadang membentuk sebuah jawatankuasa tek­nikal untuk memperhalusi draf kerjasama mereka dalam menghadapi PRU-14.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, rundingan antara Pas dengan PPBM sebelum ini hanya berkisar mengenai isu-isu semasa bukan perbincangan yang serius ke arah kerjasama politik.

“Perbincangan itu belum sam­pai ke peringkat serius dan muk­tamad untuk menjalinkan kerjasama. Apabila PPBM sudah masuk pakatan pembangkang maka rasmilah putus,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Mohd. Amar memberitahu, pendirian parti itu terhadap hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, akan ditentukan pada muktamar tahunan Pas, akhir bulan depan.




http://www.utusan.com.my/berita/politik/kerjasama-pas-ppbm-putus-1.460183 UTUSAN MALAYSIA