Friday, March 3, 2017

28 MAKLUMAT KASTAM SELANGOR DALAM GENGAMAN SPRM





Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menerima kira-kira 28 maklumat berkaitan ra­suah membabitkan pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri itu bagi tempoh lima tahun bermula 2011.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, kebanyakan maklumat diterima membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia 2009, iaitu menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil sebarang tindakan.

“Oleh itu, kita berharap JKDM Selangor dapat memberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi masalah ini.

“Selain agensi penguatkuasaan seperti JKDM, dua lagi sektor yang diberi fokus dan berada di bawah radar SPRM adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan pengawal seperti syarikat milik kerajaan.

“Maklumat yang diterima akan dipantau dari semasa ke semasa dan laporannya dihantar terus kepada Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya,” katanya dalam sidang akhbar majlis Ikrar Bebas Rasuah JKDM Selangor di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, lebih 300 orang terdiri daripada ketua bahagian, ketua cawangan dan pegawai serta kakitangan JKDM Selangor mengangkat ikrar akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan secara telus dan menjauhi rasuah.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST) Kastam Malaysia, Datuk Zulkifli Yahya dan Pengarah JKDM Selangor, Datuk Sarip Ismail.


No comments:

Post a Comment