Saturday, March 11, 2017

HADI TEGUH BERSAMA PERDANA MENTERI, MAT SABU ?





Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik wajib bersatu mempertahankan maruah serta kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman Korea Utara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adalah menjadi tanggungjawab bagi semua warganegara ini termasuk parti-parti politik untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi mendepani ketegangan hubu­ngan Malaysia-Korea Utara ketika ini.

Beliau memberitahu, semua pihak perlu mengetepikan segala perkara remeh lain serta perbezaan pendapat sesama sendiri, sebaliknya bersatu padu dengan satu matlamat untuk menghadapi ancaman luar.


Malah, jelasnya, beliau turut mengulangi ketegasan dan pendirian Pas yang menyokong tindakan tegas kerajaan Malaysia berhubung kemelut yang berlaku itu.

“Wajib (bersatu), itu perkara bersama. Seluruh rakyat mesti bersama apabila negara menghadapi ancaman (luar). Tanggungjawab kita (seluruh rakyat) adalah pertahankan negara.

“Kita wajib bersatu menghadapinya, jangan kira (peduli) perkara atau masalah-masalah. Perbezaan pendapat kena ketepikan apabila kita hadapi masalah bersama. Semua parti (politik), semua agama dan semua kaum kena bersama-sama hadapi ancaman ini (Korea Utara),” kata­nya kepada pemberita sejurus selesai mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang diminta mengulas perkembangan ketegangan terbaharu antara Malaysia dengan Korea Utara apabila 11 rakyat Malaysia ditahan dan tidak dibenarkan mening­galkan negara terbabit sejak 7 Mac lalu.

Bagaimanapun semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Korea Utara memberi jaminan kesemua rakyat Malaysia itu dalam keadaan selamat dan mereka bebas melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Malah, jelas Najib, dua daripada mereka iaitu Stella Lim dan M. Nyanaprakash yang menyertai misi Bantuan Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah dibenarkan meninggalkan Pyongyang.

Abdul Hadi seterusnya berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin mengikut saluran diplomatik.

“Cuma kita tahu Korea Utara sebuah negara yang tak ada undang-undang, (tapi) kita harap tekanan antarabangsa dapat mengubah keadaan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu.


No comments:

Post a Comment