Monday, February 27, 2017

ROTAN KAEDAH DISIPLIN PELAJAR ?



Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid membuka diskusi di akaun Twitternya dengan menyatakan hukuman rotan mungkin salah satu kaedah yang wajar untuk mendisiplinkan pelajar.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat ia bukanlah penyelesaian terakhir untuk mendisiplinkan pelajar.

Pada masa sama, Mahdzir memaklumkan ada pengguna di Facebook yang mencadangkan kepada beliau agar pelaksanaan hukuman dibuat dengan kehadiran waris.

Seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @CaptRahmat berpendapat tindakan tersebut adalah wajar namun kaedah hukuman berkenaan harus dilakukan secara berperingkat.

"Fasa 1, kaunseling di sekolah, kemudian diikuti dengan fasa 2 iaitu kaunseling di sekolah di hadapan ibu bapa serta persetujuan bertulis akan dihukum rotan jika mengulangi kesalahan," kata pengguna Twitter itu.

Pada masa sama, Mahdzir turut mengingatkan semua bahawa asas pembentukan disiplin pelajar perlu bermula di rumah.

"Disiplin diri dibentuk bermula dari rumah dan diasah dalam persekitaran sekolah," ujar Mahdzir.

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dalam reaksinya pula berhujah hukuman rotan tidak menyelesaikan masalah.

Menurut PAGE, perkara pokok yang perlu ditangani ialah mengatasi punca kejadian buli yang berlaku di sekolah serta menguatkuasakan program pencegahannya.

Kes buli dilihat terus menjadi-jadi dengan kes yang terbaharu menyaksikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu cedera di kepala dipercayai dipukul dua pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

No comments:

Post a Comment