Monday, February 27, 2017

KENYATAAN JELIK, TIGA INDIVIDU DI TAHAN



Tiga lelaki termasuk dua daripadanya bergelar Datuk ditahan kerana dipercayai membuat kenyataan jelik dan fitnah mengenai kemalangan maut melibatkan lapan remaja berbasikal serta menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menerusi laman sosial dalam tiga tangkapan berasingan.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, dua ditahan malam tadi di Taman Sri Gombak, Batu Caves dan Ipoh, Perak manakala seorang lagi ditahan di Bandar Sri Permaisuri, Selangor awal pagi ini.

Beliau berkata, individu pertama ditahan pukul 10 malam di Ipoh susulan satu laporan polis yang dibuat pada 8.28 pagi semalam berkaitan dengan pe­nyalahgunaan laman sosial ber­kenaan kerana disyaki menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menghadap Sultan Johor dan polis.

“Dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, polis kemudian menahan lelaki bergelar Datuk berusia 61 tahun di Taman Sri Gombak, Batu Caves kira-kira pukul 11 malam sebelum menahan lelaki yang turut bergelar Datuk berusia 64 tahun di Villa Taman Tasik, Bandar Sri Permaisuri pada pukul 2 pagi.

“Penahanan dua suspek itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada pukul 1.02 petang semalam berkaitan penyebaran kenyataan tersebut dalam Facebook. Polis turut merampas dua buah telefon bimbit berserta dua kad sim bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, ketiga-tiga lelaki tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan aplikasi media sosial bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan menyakiti hati, mengania­ya, mengugut dan mengganggu orang lain.

sumber utusan online

No comments:

Post a Comment