Thursday, January 5, 2017

SPAD PANDANG SERIUS TRAGEDI JALAN RAYA



Nahas kemalangan bukanlah sesuatu yang dipinta atau ditunggu-tunggu. Namun ianya perlu dicegah dari terus berlaku. Kerap kali apabila berlaku kemalangan yang meragut ramai nyawa, kerajaan sering dipersalahkan. Di dalam media sosial pelbagai cadangan dan kecaman yang ditujukan kepada kerajaan oleh natizen. 

Kerajaan mengambil sikap pro-aktif dan memandang serius terhadap tragedi jalan raya yang berlaku, tidak kiralah samaada kemalangan itu kecil atau besar. Setiap kali kemalangan berlaku ianya memberi kesan kepada besar kepada negara. 

Dalam tempoh 10 tahun antara tahun 2004 hingga 2013 sahaja, kerajaan telah mengalami kerugian sebanyak RM79 bilion ekoran kes kematian akibat kemalangan jalan raya. Semakin tinggi jumlah kematian, semakin banyak kerugian yang akan ditanggung negara dalam pelbagai sektor. Oleh itu kerajaan komited untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sehingga 50 peratus menjelang 2020. 

Berhubung dengan tragedi bas 24 Disember lalu, di Pagoh, kerajaan telah menjalankan siasatan terperinci melalui Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi mengenalpasti punca nahas tersebut. Siasatan ini juga dibantu oleh agensi-agensi Kerajaan lain dibawah kuasa masing-masing seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis dan JPJ. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri berkata, SPAD  akan menubuhkan Makmal Bas yang bertujuan memberi tumpuan kepada peningkatan mutu perkhidmatan, keselamatan dan kemampanan industri bas. 



UNTUK SIARAN SEGERA

KENYATAAN MEDIA 

PUTRAJAYA, 4 Januari 2017- Kerajaan memandang serius terhadap sebarang tragedi jalan raya yang berlaku tanpa mengira sama ada kemalangan tersebut adalah kecil atau pun besar. 

Berhubung tragedi bas ekspres yang berlaku di Pagoh, 24 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hajah Nancy berkata siasatan terperinci telah di mulakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi mengenalpasti punca nahas tersebut dengan bantuan agensi-agensi Kerajaan lain yang turut melakukan siasatan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Datuk Seri Hajah Nancy Shukri berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan Makmal Bas yang akan memberikan tumpuan kepada peningkatan mutu perkhidmatan, keselamatan dan kemampanan industri bas. Di antara lainnya makmal tersebut akan mengambil kira model perniagaan, cara-cara menangani kekurangan pemandu, usul-usul bagi memperbaiki kebajikan pemandu, pendekatan teknologi, polisi dan syarat-syarat pelesenan serta  peningkatan mutu terminal dan infrastruktur.

Makmal Bas itu akan dilaksanakan pada bulan hadapan dan akan melibatkan penglibatan serta pandangan pihak berkepentingan di dalam industri termasuk orang awam daripada seluruh Semenanjung Malaysia. 
  
Beliau turut menggesa wakil media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan yang akan menentukan tindakan seterusnya.

“Kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan akan terus bekerjasama dengan pengendali bas ekspres, persatuan-persatuan, agensi dan pemegang kepentingan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas ekspres serta keselamatan penumpang”, tambah Datuk Seri Hajah Nancy lagi.

Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat bas ekspres agar memberikan keutamaan kepada semua aspek keselamatan pemanduan dan keselamatan penumpang. Ini termasuklah melakukan pemeriksaan terhadap keadaan pemandu sebelum memulakan perjalanan lebih-lebih lagi menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

“Saya telah mengarahkan SPAD untuk menggandakan audit berasaskan risiko (risk based auditing) ke atas pengendali-pengendali bas ekspres bagi memastikan pematuhan ke atas Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) dilaksanakan demi keselamatan penumpang.

Menurut beliau, ICOP Keselamatan SPAD secara jelas telah mempertanggungjawabkan pengendali bas ekspres untuk memastikan segala aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala.

Malah, pekeliling berkenaan turut menitikberatkan aspek pematuhan kepada had kelajuan yang merupakan salah satu agenda keselamatan yang paling kritikal dan harus dipantau oleh pengendali setiap masa.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat pengendali bas ekspres yang boleh dijadikan contoh bagi meningkatkan tahap prestasi industri berdasarkan rekod perkhidmatan dan keselamatan yang cemerlang. Selain daripada ICOP Keselamatan, adalah menjadi tanggungjawab bersama agensi-agensi Kerajaan berkaitan untuk terus bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan keselamatan industri bas ekspres.

Datuk Seri Hajah Nancy turut menambah, orang ramai serta penumpang bas ekspres juga boleh membantu mengelak berlakunya insiden tidak diingini dengan membuat aduan menerusi nombor hotline 24 jam SPAD (1-800-88-7723) atau emel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD sekiranya mendapati pengendali bas tidak mematuhi undang-undang serta keadaan pemandu yang membimbangkan. Malah penumpang juga boleh terus membuat aduan ketika dalam perjalanan sekiranya mendapati pemanduan adalah tidak selamat agar pihak SPAD dapat terus membuat tindakan segera.

No comments:

Post a Comment