Friday, November 18, 2016

MH 17 : 100 SUSPEK BAKAL DIDAKWA




Malaysia  memilih tribunal antarabangsa sebagai tindakan seterusnya  mendakwa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia akan menggunakan Mahkamah Antarabangsa di Belanda untuk mendakwa mereka yang terlibat. Lebih kurang 100 suspek telah dikenal pasti menembak jatuh pesawat berkenaan dua tahun lalu. Namun suspek utama yang menembak pesawat Malaysia Airlaines (MAS) MH17 hanya akan diketahui selewat-lewatnya tahun 2018. 

Kerajaan tidak akan bertindak sendirian dalam mencari keadilan bagi mangsa MH17 dan sebaik sahaja penyiasat antarabangsa mengenal pasti pelakunya, Malaysia mempunyai pilihan sama ada meneruskan dengan ‘pendakwaan negara’ atau memilih sebuah tribunal antarabangsa.

Tragedi ini melibatkan mangsa dari banyak negara. Apa yang menariknya ia berlaku di Eropah, di ruang udara antarabangsa, dan bukannya di rantau Asia. Ia merupakan medium terbaik untuk menunjukkan kepada dunia siapa yang benar-benar bertanggungjawab berdasarkan bukti yang dikumpul.

Menurut Liow lagi, Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) akan terus menyiasat berkenaan pesawat MH17 sehinggalah hujung tahun hadapan.  



Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa untuk kementerian itu dalam Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab isu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Tiong Lai berkata, laporan teknikal lengkap berkenaan pesawat itu dijangka akan dikeluarkan pada awal tahun depan selepas proses pencarian seluas 120,000 kilometer persegi selesai dijalankan.

Beliau berkata, pasukan pencarian yang melibatkan Australia, China dan Malaysia akan menangguhkan sementara waktu pencarian pesawat itu jika masih gagal menjumpai pesawat berkenaan.

“Kita tidak akan berhenti (pencarian), sebaliknya akan menangguhkan seketika proses pencarian pesawat itu sehingga mendapat petunjuk-petunjuk baharu pesawat tersebut,” jelasnya.