Saturday, October 1, 2016

Pertukaran dan penyelarasan 10 pegawai kanan PDRM



KUALA LUMPUR 30 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 10 pegawai kanannya berkuat kuasa 1 November depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, senarai tersebut diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk A. Thaiveegan yang dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis.


Menurutnya, Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Azham Othman ditukarkan kepada Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan dan Perundangan) dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.


“Ketua Penolong Pengarah (Risikan dan Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Senior Asisten Komisioner Kang Chez Chiang dilantik sebagai Timbalan Pengarah JSJN dengan memangku pangkat Deputi Komisioner manakala Ketua JSJN Johor, Asisten Komisioner Zulkifli Ali mengisi kerusi lamanya dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.


“Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany bertukar jawatan sebagai Ketua Penolong D5 Pendakwaan dan Undang-undang, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Asmawati memberitahu, Pegawai Turus E6B, Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Ahmad Fawzan Mohamed menyandang jawatan Penolong Pengarah Siasatan Intelligence dan Analisis/Tatacara Perundangan (E6) Cawangan Khas dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.


Ujarnya, jawatan Ahmad Fawzan akan diambil alih Superintenden E6E1, Cawangan Khas Bukit Aman, Superintenden Mohd. Zahari Sidik dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.


Jelasnya, Timbalan Ketua JSJK (Jenayah Korporat dan Kewangan) Selangor, Superintenden Mohd. Luthfi bertukar ke Kuala Lumpur dengan memegang jawatan sebagai Ketua JSJK dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.


“Turut ditukarkan ialah Pegawai Turus E4, Cawangan Khas Kuala Lumpur, Superintenden Izan Bakri, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.


“Ketua JSJN Sarawak, Superintenden Lukas Aket pula ditukarkan ke Johor sebagai Ketua JSJN dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” ujarnya.



NAZWIN NAZRI : UTUSAN MALAYSIA