- Faktor harga yang murah menjadikan Proton Saga baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 28 September ini menjadi tarikan utama kepada orang ramai untuk memilikinya.
Keratan Utusan Malaysia semalam.
Tinjaun Mingguan Malaysia di Proton Edar, Jalan Chan Sow Lin dan Bandar Sri Permaisuri mendapati orang ramai sudah mula mengunjungi pusat pameran Proton bagi mengetahui butiran lanjut mengenai Proton Saga baharu yang akan dilancarkan Rabu ini.
Seorang pengunjung, Abdul Syafiq Abdul Samat, 30, berkata, harganya yang murah menjadi salah satu daya penarik untuk menjadikan Saga sebagai salah satu pilihan hatinya.
“Harga jualan Saga baharu antara RM37,000 hingga RM46,000, dan jumlah berkenaan sangat berpatutan dan sesuai dengan pendapatan orang ramai.
“Walaupun harganya murah, namun saya percaya Saga ini mempunyai tahap kualiti yang tersendiri,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, R. Sivasangar, 55, berkata, dengan keadaan ekonomi semasa, produk yang tampil dengan harga murah berbanding jenama lain merupakan satu kelebihan.
“Bagi saya, ciri yang paling unik dapat saya perhatikan ialah harganya yang berada dalam kategori mampu milik oleh orang ramai.
“Dengan harga sebegini, saya yakin golongan yang berpendapatan sederhana juga mampu memiliknya tanpa perlu memikirkan kualiti dan komitmen bayaran bulanan yang tinggi,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pengunjung, Zulkurnain Mardikan, 47, memberitahu, kualiti enjin yang ada pada Saga juga mampu menarik orang ramai untuk membelinya.
“Walaupun ia belum dilancarkan secara rasmi kepada umum, namun berdasarkan pemerhatian saya, bentuk yang ada pada Saga ini pada kali ini lebih kontemporari dan elegan jika dibandingkan dengan Saga yang terdahulu.
“Saya sendiri akan membuat tempahan sebaik sahaja kereta berkenaan dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai Rabu ini,” katanya.
Bagi Mohd. Rafiuddin Mohd. Ramlee, 28, setelah meneliti pandangan orang ramai dan pakar mengenai Saga baharu telah menarik minat beliau untuk mendapatkannya.
“Terdapat perbezaan yang boleh dilihat dengan jelas seperti spesifikasi yang lebih bagus dan keadaan fizikal sedikit panjang berjaya menambat hati saya.
“Malah, sistem audio di dalam Saga baharu ini memiliki ciri yang sesuai dengan generasi muda apabila dilengkapi dengan teknologi yang dapat mainkan MP3/USB/Aux dan Bluetooth,” jelasnya.
Mat Isa Mat, 48, pula turut menjelaskan harga yang berpatutan dan didatangkan dengan muatan bonet yang lebih besar menjadi pilihannya.
“Saga baharu ini tampil dengan bonet yang lebih besar dua peratus berbanding Saga lama. Ia adalah ciri yang sesuai kepada mereka yang berkeluarga kerana memerlukan muatan bonet yang lebih besar terutama semasa ingin pulang ke kampung,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment