Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971, Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pendaftaran Negara 1959.

"KDN hanya membenarkan pengawal keselamatan warganegara Malaysia dan pengawal keselamatan warganegara Nepal yang bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan yang berlesen dengan KDN untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini," katanya.

Kenyataan Alwi dikeluarkan bagi mengulas laporan Bernama Jumaat lalu yang memetik Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali bahawa terdapat sekurang-kurang 30,000 pengawal keselamatan haram yang bekerja secara bebas di negara ini.

Jelas Alwi, KDN telah mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang diselaraskan di bawah sebuah Task Force bermula 1 November 2013 sehingga suatu tempoh masa yang akan ditentukan kelak.

"Operasi penguatkuasaan secara bersepadu ini telah dilaksanakan setiap minggu ke atas premis-premis seperti sekolah, kawasan taman perumahan, kondominium, premis perniagaan, pusat membeli-belah dan institusi kewangan/bank," katanya.

Tambah Alwi, sejak 2013 sehingga Jun 2016, KDN telah mengambil tindakan membatalkan lesen 48 buah syarikat kawalan keselamatan dan 60 syarikat dikenakan tindakan amaran terakhir atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram.

Beliau berkata, berdasarkan kepada statistik tangkapan dalam operasi bersepadu di seluruh negara yang telah dijalankan sejak 1 November 2013 sehingga kini, seramai 1,208 warga asing haram yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah ditangkap dan didakwa seterusnya diusir keluar.

Jelas Alwi, setiap tahun KDN turut melaksanakan audit pengurusan ke atas syarikat-syarikat kawalan keselamatan bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan sentiasa mematuhi segala peraturan dan pekeliling yang telah ditetapkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

"Bermula pada tahun ini juga, KDN telah memulakan beberapa siri perjumpaan dengan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan kawalan keselamatan bagi memberikan penjelasan mengenai kepentingan untuk menggunakan pengawal keselamatan yang telah lulus tapisan keselamatan daripada syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang berlesen sahaja," katanya. - BERNAMA