Thursday, June 30, 2016

TIDAK TERLIBAT PEMBELIAN HARTANAH DI BUKIT BINTANG



Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJKL), Datuk Ku Chin Wah tidak terlibat dalam urusan jual beli dua hartanah di Bukit Bintang yang bernilai RM103.5 juta.


Ahli perniagaan dalam bidang makanan dan minuman, Datuk Seri Kok Kuan Hwa, 47, berkata, urusan jual beli hartanah tersebut hanya melibatkan dirinya dan seorang ejen hartanah yang dikenali sebagai Datuk Khoo Ah See.


“Hartanah tersebut adalah melibatkan sebuah hotel yang dibeli pada tahun 2013 dan bangunan kedai yang kini dijadikan hotel sembilan tingkat pada tahun 2010.


“Kedua-dua bangunan berkenaan telah diubahsuai dan dikenali sebagai Hotel Izumi dan Hotel Fortuna yang terletak di Bukit Bintang,” kata kenalan Chin Wah yang juga saksi pendakwaan keenam itu dalam perbicaraan hari keempat kes tersebut.


Mengikut pertuduhan, Chin Wah yang kini bertugas sebagai Urus Setia JSJ Bukit Aman didakwa telah gagal mengisytiharkan segala punca perolehan di dalam penyataan bertulis dengan bersumpah bertarikh 8 Januari 2014.


Dengan itu, dia didakwa gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya di bawah Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Disember 2013.


Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Blok D6 Putrajaya antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014.
Pertuduhan terhadap pegawai polis itu dibuat mengikut Seksyen 49(3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.


Dalam sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed itu juga, Kuan Hwa turut memberitahu, dia berjanji akan memberi komisen sebanyak satu peratus daripada harga belian hartanah itu kepada Ah See sekiranya urusan jual beli itu berjaya.


“Bagi Hotel Izumi, harga jualannya adalah RM5.5 juta jadi komisen yang diterima oleh Ah See adalah RM55,000 manakala bagi Hotel Fortuna pula, harga jualan adalah RM98 juta dan komisen adalah sebanyak RM980,000.


“Bayaran kedua-dua komisen berkenaan dibuat melalui tunai dan cek serta ia sudah langsai sepenuhnya,” katanya.


Ketika ditanya sama ada dia membuat perjanjian komisen yang sama dengan Chin Wah, ahli perniagaan yang mempunyai 200 buah restoran di Singapura itu menjawab tidak.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent berhubung komisen berkenaan, Kuan Hwa berkata, ia tiada kaitan dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang mahupun rasuah.


“Komisen tersebut diberikan atas urusan jual beli dua hartanah tersebut,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Sohaini Alias bersambung 3 Ogos ini. -

sumber UTUSAN ONLINE