KUNSHAN, China 15 Mei - Malaysia memulakan kempen Piala Thomas dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 4-1 ke atas England dalam saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Kunshan, di sini sebentar tadi.
Datuk Lee Chong Wei yang turun selaku perseorangan pertama tidak berdepan masalah menumpaskan Toby Penty 21-15, 21-11 dalam tempoh 34 minit bagi meraih mata pertama Malaysia.
Beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menjadikan kedudukan 2-0 selepas menundukkan Marcus Ellis-Chris Langride 21-12, 21-17 dalam aksi yang memakan masa 40 minit.
Chong Wei Feng yang diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran perseorangan kedua tampil cemerlang dengan mengesahkan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Sam Pasrsons 21-10, 21-10.
Bagaimanapun, beregu berpengalaman negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal meraih mata keempat negara apabila tewas 18-21, 21-13, 17-21 kepada Peter Briggs-Tom Wolfenden.
Perseorangan ketiga negara, Goh Soon Huat pula dipaksa bekerja keras hingga ke set penentuan sebelum merekodkan kemenangan 21-15, 19-21, 21-13 ke atas Alex Lane.
- UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment