Wednesday, April 13, 2016

PERDANA MENTERI MELAWAT ASRAMA DARUL FALAH



Saya berpeluang sekali lagi untuk melawat anak-anak di Asrama Darul Falah (ASDAF) pada petang ini. Ketika lawatan pertama saya 10 Mac lalu, saya mendapati keadaan pusat ini kurang memuaskan dan tidak selesa untuk didiami oleh 42 anak-anak orang asli ini.

Saya lihat bahawa penambahbaikan yang dilaksanakan oleh sukarelawan iM4U dan 300 pelajar GiatMARA dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah berjalan dengan lancar.

Dalam tempoh sebulan, ASDAF telah menjadi sebuah kediaman yang jauh lebih bersih, selesa dan kondusif berbanding lawatan pertama dahulu. Apa yang penting bagi saya adalah keselesaan anak-anak ini.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak ini terutamanya apabila mendapat tempat tinggal dengan katil, tilam dan peralatan serba baru. Saya sempat berbual dengan, Adam, yang berusia tujuh tahun dan Putra berusia 13 tahun. Kedua-dua mereka berjanji dengan saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita menjadi anggota polis.

Syabas kepada sukarelawan iM4U, Giat MARA, ICU serta Courts Malaysia yang menyumbang tenaga dan peralatan baru kepada mereka untuk mengubah wajah pusat ini.

Saya difahamkan, sukarelawan iM4U akan terus mengadakan kelas tambahan kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan PT3 dan SPM pada tahun ini.

Insya-Allah, saya akan terus memastikan usaha transformasi untuk memberi keselesaan kepada anak-anak orang asli ini akan diutamakan, seiring dalam merealisasikan agenda pembangunan yang inklusif dan setara untuk semua.