Wednesday, April 27, 2016

Peminjam PTPTN utama komitmen lain



SHAH ALAM – Komitmen pinjaman lain membuatkan kebanyakan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menangguhkan bayaran.
Ketua Jabatan Operasi Cawangan Agensi Kaunseling dan Penguatkuasaan Kredit (AKPK), Mansor Ali berkata, peminjam mempunyai pinjaman lain yang mereka utamakan lantas menyebabkan mereka gagal membuat pembayaran balik dan disenarai hitamkan.
“Berdasarkan kenyataan pernah dibuat PTPTN sendiri, peminjam mungkin utamakan buat bayaran balik pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, kad kredit dan kenderaan,” katanya.
Sehubungan itu, Mansor berkata, terdapat peningkatan peminjam yang meminta bantuan daripada AKPK sejak nama mereka dimasukkan ke dalam senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).
“Setakat ini kita ada 55 peminjam PTPTN berhubung dengan AKPK sejak kami menandatangani memorandum bersama PTPTN Februari lalu.
“Namun begitu, terdapat peminjam di antara jumlah tersebut yang meminta bantuan AKPK dan saya jangkakan jumlah ini akan meningkat,” katanya.
Justeru, Mansor menggalakkan peminjam PTPTN menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) yang bertujuan untuk membantu peminjam membayar balik mengikut kemampuan mereka.
“Saya saran peminjam PTPTN sertai program ini kerana ia dapat membantu mereka menguruskan wang dengan bijak,” ujarnya.
Terdahulu, 1.25 juta peminjam PTPTN tersenarai dalam sistem CCRIS berikutan gagal bayar balik pinjaman ditetapkan.