Terbaharu, Guan Eng dilihat cuba berdrama dalam me­netapkan tarikh debat itu sehingga mempertikaikan lawatan Abdul Rahman ke luar negara.

Kata beliau, Abdul Rahman diberi tempoh sehingga malam Sabtu ini untuk tampil berdebat sekiranya betul dengan cabaran yang dibuat pada Rabu lalu.

“Sabtu ini, 16 haribulan dan saya difahamkan Abdul Rahman akan pulang dari lawatannya ke luar negara pada 15 haribulan iaitu sehari sebelum hari Sabtu ini.

“Jadi tidak ada sebab untuk Abdul Rahman tidak boleh berdebat dengan saya pada Sabtu ini selepas beliau pulang dari luar negara. Buktikan yang beliau betul-betul mahu berdebat dan tidak cuba untuk mengelak atau lari daripada cabarannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rabu lalu, Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategi Barisan Nasional (BN) mencabar Guan Eng berdebat berhubung isu tanah Taman Manggis yang didakwa sudah ditukar milik dan bukan lagi dimiliki oleh Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) setelah dijual kepada pihak ketiga.

Cabaran Abdul Rahman itu disam­but Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya itu sehari selepas cabaran debat terbabit dibuat.

Namun difahamkan, Abdul Rahman kini berada di luar negara kerana mengadakan lawatan rasmi yang diatur kementeriannya dan dijangka pulang ke tanah air pada 18 April ini.
Tambah Guan Eng, cabaran untuk berdebat itu disuarakan Abdul Rahman pada Rabu lalu dan beliau sudi menerima pelawaan debat itu pada keesokan harinya.

“Selepas itu Jumaat lalu beliau menyatakan tidak sabar untuk berdebat, namun dengan tiba-tiba Abdul Rahman berlepas ke luar negara.

“Apa ini? Tindakan Abdul Rahman ini seolah-olah beliau tidak berhasrat untuk berdebat dan hanya mahu bermain-main.

“Kalau betul mahu berdebat, tunjukkan yang beliau serius dan saya tidak mahu sekadar diper­main-mainkan,” katanya.

Selain itu Guan Eng juga me­negaskan beliau tidak akan berundur daripada berdebat dengan Abdul Rahman dan memberi peluang kepada menteri terbabit sehingga Sabtu ini.