Sunday, January 17, 2016

TAKKAN NAK SALAM PUN TAK BOLEH...??? - HAJI HADI


PAS berhak jalin kerjasama demi syiar Islam: Abdul Hadi
January 16, 2016

KUALA NERUS, Sabtu – PAS tidak akan berhenti bekerjasama dengan sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik demi menegakkan syiar Islam dan kepentingan umat Islam di negara ini.

Malah, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu juga berhak menjalin kerjasama dengan UMNO selagi kedua-dua pihak bersedia menerima pandangan masing-masing demi membangunkan syiar Islam dan bukan atas kepentingan politik.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam program Nadwah Ulama 2016 bertajuk ‘Politik Terkini & Hala Tuju PAS’ di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq) di Batu Enam di sini hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Ulama PAS negeri Datuk Hussin Awang, dan Ketua Penerangan PAS negeri Mohd Nor Hamzah.

Kata Abdul Hadi, beliau sendiri pernah mewakili umat Islam di negara ini suatu ketika dahulu untuk menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan konflik di Yaman.

“Pada waktu itu kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra mengarahkan pihak kedutaan kita di sana (Yaman) membantu saya secara diplomatik untuk menjadi pendamai dalam konflik tersebut.

“Dengan urusan diplomatik itu, saya telah berjumpa dengan para pemimpin puak-puak yang bertelagah yang akhirnya berjaya mencari jalan perdamaian. Maknanya pada masa itu kita (PAS) telah jalin kerjasama dengan kerajaan khususnya UMNO,” katanya.

Abdul Hadi juga berkata beliau pernah berkongsi pandangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu berkaitan Islam di peringkat antarabangsa.

“Antaranya saya telah beri pandangan dan nasihat kepada Datuk Seri Najib supaya meminta kerajaan Bangladesh membebaskan tokoh-tokoh Islam negara itu daripada tahanan. Saya juga ada jumpa Tun Dr Mahathir dan kami berbincang mengenai perkara yang sama.

“Kita juga sedang berbincang dengan pucuk pimpinan negara bagaimana untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Inilah bentuk kerjasama yang kita jalin, takkan tak boleh.

“Takkanlah nak bersalam pegang tangan pun tak boleh,” jelasnya. – Bernama

No comments:

Post a Comment