Monday, December 28, 2015

SIAPA SYAITAN BISU



Sanggahan Terhadap Syubhat:

"TAAT PEMERINTAH TAK PERLU SAMPAI MENYOKONG DAN MEMPERTAHANKAN MEREKA."

Oleh: Ustaz Idris Sulaiman

Demikianlah syubhat sebahagian kelompok yang JAHIL akan MANHAJ SALAF. 

Kenyataan ini salah dan keliru. 

Para ulama menegaskan, ketaatan kepada pemerintah menuntut supaya Umat Islam menyokong pemerintah Islam dalam hal makruf dan mempertahankan mereka daripada segala anasir-anasir pembangkang dan pemberontak yang mahu mengganggu-gugat dan menjatuhkan mereka. 

Lihat kitab: Hubungan Rakyat dengan Pemerintah menurut Al-Quran dan Sunnah oleh Dr Abdul Salam Birjis. Beliau menukilkan 10 kewajipan rakyat terhadap pemerintah dan sepuluh kewajipan pemerintah terhadap rakyat.

Sebagaimana sabda Nabi:

اذا بويع لخليفتين فاقتلوا الآخر منهما

"Jika dua khalifah dilantik maka bunuhlah yang kedua." [Riwayat Muslim] 

Sabdanya lagi:

إنه سيكون هنات وهنات فمن أراد ان يفرق أمر هذه الأمة وهي جميع فاضربوه بالسيف كائنا من كان

"Akan timbul kerosakan dan kejahatan, barangsiapa ingin memecah belahkan perpaduan Umat ini, hendaklah kamu memenggalnya dengan pedang walau sesiapa pun dia." [Riwayat Muslim] 

Kedua hadis di atas menegaskan tuntutan mempertahankan pemerintah ke tahap yang paling tinggi. 

Baginda memerintahkan supaya segala anasir-anasir yang mahu memecah belahkan masyarakat dan menimbulkan perbalahan dan kekacauan dihapuskan sama sekali. Demi menjaga perpaduan dan kekuatan Umat ini. 

Di samping itu, dakwaan "taat pemerintah tanpa mempertahankan mereka daripada ancaman pembangkang dan pemberontak" adalah ibarat syaitan bisu yang menyaksikan kemungkaran tetapi tidak berbuat apa-apa. 

Bukankah perbuatan tersebut seolah-olah merestui apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang dan pemberontak? 

Hal ini bercanggah dengan sabda Nabi:

"Barangsiapa melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya." [Riwayat Muslim] 

Umat Islam juga diperintahkan supaya menolong pemerintah dalam hal-hal yang makruf. 

Sejajar dengan keumuman firman ALLAH:

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الاثم والعدوان

"Dan tolong-menolonglah dalam hal kebaikan dan ketakwaan, dan jangan pula bantu-membantu dalam hal dosa dan permusuhan." [Surah Al-Maa'idah, 2]

Bahkan menolong pemerintah dalam hal kebaikan termasuk dalam kebaikan yang paling utama kerana maslahatnya besar dan akan dirasai oleh seluruh masyarakat negeri. 

Apa yang benar tetap benar.

Saranan ini tiada kaitan dengan kebatilan demokrasi dan kepartian hizbi. 
 
Wallahul muwaffaq.