Ibrahim Ali
Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tegas itu mesti diambil ke atas pihak yang terlibat kerana ia boleh me­rugikan kerajaan selain kualiti pengajian akan menjadi rendah.

“Selain menyiasat dan mengenakan tindakan tegas, kerajaan juga perlu mengkaji semula insentif itu yang menukar pinjaman ­PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang dalam kategori tersebut.


“Isu itu timbul apabila keputusan cemerlang pelajar di universiti swasta naik mendadak sejak setahun lalu. Perkara ini meragukan banyak pihak,” katanya ketika dihubungi hari ini .

Beliau mengulas ruangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini yang mendedahkan tindakan itu merupakan salah satu strategi universiti untuk menarik ramai pelajar.


Menurut Awang, menerusi cara itu pelajar terbabit tidak perlu membayar balik pinjaman atau ia diterjemahkan dalam bentuk biasiswa.


Ibrahim berkata, jika perkara itu berlaku ia akan mencetuskan rasa tidak puas hati pelajar lain yang terpaksa membayar semula pinjaman PTPTN sedangkan pihak tidak bertanggungjawab terlepas daripada melunaskan hutang tersebut.


“Golongan ini bukan sahaja menipu dan tidak perlu membayar hutang malah, selepas itu akan lebih mudah mendapat kerja dengan gaji yang besar tetapi terlepas daripada membayar hutang. Bagi saya ini tidak adil buat peminjam PTPTN yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Gabu­ngan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, tindakan tegas itu mesti diambil ke atas pihak terlibat kerana ia boleh merugikan kerajaan.


“GPMS memandang serius perkara ini dan menggesa PTPTN, Kementerian Pendidikan Tinggi ataupun Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyiasat mana-mana universiti swasta yang terlibat kerana kalau betul ia berlaku banyak pihak lain yang tentunya akan marah,” ujarnya.

Menurut Zambri, tindakan universiti terbabit dilihat sengaja mengorbankan kualiti pengajian dan memanipulasi keputusan akademik semata-mata untuk tujuan komersial dan agenda lain adalah jenayah yang patut disekat.