Monday, November 2, 2015

JANGAN SIMPAN KEBENARAN ISLAM



Ketahuilah, diluar sana beribu-ribu malahan mungkin berjuta-juta orang berada dalam kegelapan jiwa. Mereka mencari-cari sinar cahaya penyuluh jiwa. Kerana jiwa mereka kosong, jiwa mereka sunyi, jiwa mereka kekontang, jiwa mereka kelaparan....mereka memberontak didalam diam. 

Percayalah, mereka diluar sana sedang  mencari-cari cahaya kebenaran. Iaitu kebenaran Islam. Mereka sebenarnya sudah bosan dibohongi dengan ceramah-ceramah retorik agamawan. Meraka tidak mahu lagi disogok dengan cerita-cerita karut tahyul Yahudi dan Kristian. Apa yang mereka mahukan adalah petunjuk yang benar. Petunjuk kebenaran itu ada pada kita, sedangkan kita tidak menyedarinya. 

Kita umat Islam mempunyai jalan untuk membimbing mereka kepada jalan kebenaran. Namun apa yang malang, kita lebih suka menyimpan kebenaran itu di masjid-masjid. Sebenarnya didalam setiap masjid,  terdapat rahsia-rahsia bagi memandu manusia dalam mencari solusi  masalah mereka. Apa sahaja masalah di dunia ini, Islam ada jalan keluarnya. 

Bagaimana untuk menyelesaikan masalah kebuluran didunia, Islam ada jalan penyelesaiannya. Bagaimana untuk mengatasi masalah kemiskinan di dunia, Islam ada jalan penyelesaiannya. Bagaimana hendak menyelesaikan kemelut ekonomi di dunia, Islam ada jalan penyelesaiannya.

Dalam satu kenyataan yang disebut dalam akhbar Washington Post, dalam satu artikelnya berkenaan dua pasaran yang merudum teruk di Amerika iaitu urusniaga pelaburan dan urusniaga perumahan dan dua  perniagaan dalam pasaran yang tidak terkesan sedangkan perniagaan lain merosot teruk iaitu perniagaan kewangan syariah dan perniagaan perumahan syariah, kedua-dua perniagaan ini terus maju dan terus kukuh. 

Kedua-dua perniagaan ini sangat stabil dan kukuh. Pakar-pakar ekonomi di Washington berusaha mencari kaedah bagi menerapkan sistem kewangan syariah, pelaburan syariah dan pelaburan rumah dan hartanah ke dalam sistem ekonomi negara agar keadaan menjadi stabil. 

Ini kerana mereka menyedari  bahawa mereka tidak mampu mengaut keuntungan dalam masa singkat dengan mengaplikasikan sistem syariah ini tetapi ianya mampu mengawal keadaan ekonomi menjadi stabil.

Hari ini mereka menyedari bahawa Islam juga memiliki jalan penyelesaian terhadap masalah kewangan mereka, sedangkan kita sudah lama mengetahuinya sejak dulu. Kita sebenarnya tahu bahawa kita mampu menyelesaikan masalah dunia dengan ajaran Islam yang kita yakini. 

Namun begitu masalahnya hari ini adalah kita menyembunyikan solusi ini. Samaada mahu tidak mahu, tanpa kita sedari kita telah menyembunyikan penyelesaian ini daripada mereka.

Allah melalui kalamNya di dalam Al-Quran adamenyebut perihal kisah yahudi tentang apa yang telah mereka lakukan dalam agama mereka.
 Sungguh, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, setelah Kami jelaskan kepada manusia dalam Kitab (Al-Quran), mereka itulah yang dilaknat Allah dan dilaknat (pula) oleh mereka yang melaknat, QS. 2:159

Sebenarnya tanpa kita sedari, kita telah melakukan kesalahan sepertimana kaum Yahudi yang telah menyembunyikan kebenaran yang disampaikan kepada mereka oleh para nabi terdahulu.

Ketika mana mereka melihat Nabi Muhammad SAW, mereka tahu akan kebenaran dakwah baginda, mereka kenal akan kenabian baginda tetapi mereka menyembunyikannya serta mendustakan baginda.

Begitu juga dengan kita, kita mengetahui tentang ajaran Islam tetapi kita menyembunyikannya. Kita sebagai umat Islammemohon kepada Allah untuk diberikan kemuliaan, pertolongan dan ditingkatkan iman. Semua itu Allah kurniakan kepada kita melalui Addinul Islam.  

Apa saja yang diingini oleh seorang muslim Allah berikan melalui agama Islam. Apa pun yang diperlukan oleh kita termaktub didalam kitab Al-Quran yang ada pada kita untuk di selidiki, dipelajari, dikorek rahsianya dan dilaksanakan perintahnya. 

Wallahulam....bersambung.


Mohammad Firdaus Hasnel Darus