MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, pemimpin terbabit tidak sepatutnya menuding jari terhadap Presiden kerana permasalahan yang berlaku di dalam parti sebelum ini adalah berpunca daripada sikap mereka sendiri.

“Cadangan (tukar Presiden) semua orang boleh buat, tetapi adakah semua masalah yang berlaku di dalam Pas ini, salah Presiden?.

“Bukankah masalah sebenarnya bermula daripada ahli terutama mereka yang kalah pada pemilihan sempena muktamar. Bukan Presiden yang timbulkan masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong-royong mega di Taman Transit Panji di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang berterusan menyerang parti dan Presiden termasuk mengemukakan saranan agar Abdul Hadi meletak jawatan dan seterusnya memberi laluan kepada pemimpin baharu.

Husam dilaporkan berkata, Abdul Hadi perlu digantikan sekiranya ahli berhasrat untuk melihat pengakhiran kepada 'kekeliruan' dan 'haru-biru' yang menyelubungi parti itu ketika ini, dengan pucuk kepimpinannya disifatkan sebagai 'buang tabiat.’

Sebelum itu, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor secara terbuka turut mendedahkan mengenai perancangan Abdul Hadi untuk bekerjasama dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Dakwa Husam, konspirasi tersebut menjadi punca perpecahan di dalam Pas sebelum ini sehingga melahirkan kumpulan serpihan yang mewujudkan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara itu ketika ditanya mengenai tindakan Husam yang secara terbuka mengkritik parti dan Presi­den, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar menegaskan, perbuatan bekas Exco kerajaan negeri itu langsung tidak memberi sebarang faedah dan kesan kepada Pas.

Sebaliknya beliau berkata, tindakan Husam itu hanya akan mengundang kebencian seluruh ahli kepada beliau.

“Tindakan Husam ini tidak memberi kesan kepada parti tetapi kepada beliau sendiri. Saya percaya orang Pas tidak boleh terima sikap yang ditunjukkan Husam ini.

“Kita ada saluran, Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) juga pernah sebut, parti atau jemaah ini umpama rumah tangga dan kita tidak boleh cakap mengenai hal rumah tangga ini di kedai-kedai kopi.

“Itu pesan Tok Guru. Apabila Husam cakap dalam keadaan sekarang ini, ramai orang boleh salah faham dan membuat pelbagai tafsiran,” katanya.