Wednesday, November 11, 2015

BUAYA INDONESIA LEBIH DIPERCAYAI DARI "BUAYA-BUAYA" DI MALAYSIA




Agensi cegah dadah Indonesia bercadang membina bangunan penjara di sebuah pulau dimana banduan dadah yang bakal menjalani hukuman mati dikawal oleh buaya, umpama adegan filem James Bond.

Idea asal dari ketua projek cegah dadah, Budi Waseso yang merancang melawat beberapa lokasi untuk mengesan replitia ganas yang sesuai untuk dijadikan pengawal penjara itu.

“Kami akan menempatkan sebanyak mungkin buaya. Saya akan mencari spesis buaya yang paling ganas,” katanya yang dipetik portal berita Tempo.

Waseso berkata, buaya lebih sesuai untuk menghalang penyeludup dadah melarikan diri daripada penjara kerana tentunya ia tidak boleh dirasuah, tidak seperti pengawal manusia.

Beliau juga memberi jaminan ideanya itu tidak akan menimbulkan masalah seperti berlaku dalam filem lakonan Roger Moore, “Live and Let Die” yang berjaya melarikan diri daripada pulau yang dipenuhi reptilia itu.

“Kita tidak boleh rasuah buaya. Kita tidak boleh yakinkan mereka untuk melepaskan banduan,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini, perancangan ini masih di peringkat awal, tanpa keputusan berkaitan lokasi dan tarikh penjara itu akan mula beroperasi.

Indonesia kini menguatkuasakan undang-undang anti-dadah paling ketat di dunia termasuk menyediakan pasukan menembak mati pengedar dadah termasuk warga asing dan mendapat kritikan hebat di peringkat antarabangsa pada April.

Presiden Joko Widodo menegaskan pengedar dadah perlu berdepan hukuman mati kerana negara itu mahu memerangi masalah dadah secara habis-habisan.

Sementara itu, jurucakap agensi anti-dadah, Slamet Pribadi mengesahkan pihak berwajib sedang merancang untuk membina penjara khas untuk banduan yang bakal menjalani hukuman mati.

Katanya, hanya pengedar dadah akan ditempatkan di penjara bagi mengelak mereka bergaul dengan banduan lain.

Agensi berkenaan ketika ini sedang berbincang dengan kementerian keadilan berkaitan perancangan itu, tambahnya lagi. – AFP