Menurut peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Mahkamah Tinggi di sini telah dimaklumkan hari ini bahawa permohonan itu akan difailkan selewat-lewatnya pada Rabu ini dan dibuat atas alasan saman tersebut adalah remeh, mengaibkan dan menyusahkan.
Beliau berkata, mahkamah juga telah dimaklumkan bahawa kedua-dua defendan itu akan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding sementara menunggu pelupusan permohonan untuk membatalkan saman itu.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Mohd. Hafarizam petang ini, mahkamah telah menetapkan 26 Oktober ini untuk pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab.


Pada 28 Ogos lalu, bekas ahli UMNO, Anina Saadudin memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan itu antaranya bagi menuntut pembayaran balik sejumlah AS$650 juta yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.
Dalam kenyataan tersebut, Mohd. Hafarizam turut berkata, mahkamah hari ini telah mengarahkan pihak defendan memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 1 Oktober ini.


“Di sini saya ingin menekankan bahawa ini (pernyataan pembelaan) bukan untuk menimbulkan kes prima facie yang memerlukan Najib dipanggil membela diri. Itu hanya diguna pakai untuk kes jenayah, dan kes ini bukanlah sebegitu.


“Dalam mana-mana saman sivil, pihak defendan mempunyai hak perundangan untuk memberi maklum balas atau menjawab. Ia dilakukan melalui pernyataan pembelaan yang mahkamah telah pun berikan pada Najib dan seorang lagi dalam tempoh masa tertentu.
“Tidak ada yang luar biasa atau kabur tentang kaedah ini memandangkan ia telah diterima pakai selama ini,” jelas Mohd. Hafarizam dalam kenyataan itu lagi.


Pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar, Norfauzani Mohd. Nordin hari ini, peguam Nor Emilia Mohd. Iszeham hadir bagi pihak Najib dan Abdul Rauf manakala Anina diwakili peguam, Aizul Rohan Anuar.

Utusan Malaysia