ABDUL HADI AWANG
Abdul Hadi berkata, ini kerana, perkara itu telah jelas dinyatakan dalam bai’ah bersumpah yang dilafazkan oleh setiap ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas ketika menjadi calon dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau menjelaskan, jika terdapat wakil rakyat parti itu yang melanggar bai’ah tersebut, mereka akan dilaknati Allah.

“Pas sebagai parti Islam membuat bai’ah dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat mengadakan bai’ah dengan pemimpin-pemimpinnya, bai’ah dengan calon-calon yang dilantik dalam pilihan raya dan dikuatkan bai’ah ini dengan sumpah wallahi, wabillahi dan watallahi.


“Maka, saya berbai’ah sebagai calon Parti Islam Semalaysia atau Pas, dan tidak disebut PKR atau DAP. Sekiranya saya khianat kepada perjuangan Islam, tak ikut arahan parti dalam perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam, maka saya dilaknat oleh Allah dan Rasul, malah dilaknat oleh semua.


“Allah menjadi saksi atas apa yang saya ucapkan ini. Ini diucapkan oleh setiap calon sama ada yang menang atau kalah. Parti (Pas) mewajibkan dalam bai’ah itu kalau sekiranya dipecat keluar parti, mereka kena letak jawatan sebagai ahli parlimen atau ADUN. Ini disebut dalam bai’ah itu,” katanya.

Abdul Hadi menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan program Himpunan Harapan Semua (Harap 3.2) di Kampung Pulau Serai dekat sini malam tadi yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini.


Yang turut hadir, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali; bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta kepemimpinan Pas Terengganu termasuk Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat.


Kenyataan Abdul Hadi itu merujuk kepada tindakan beberapa wakil rakyat Pas yang telah mengambil keputusan menyertai parti baharu iaitu Amanah yang diterajui bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu.


Dalam ucapannya, beliau turut menyeru seluruh ahli Pas agar jangan bimbang dengan perkembangan serta masalah yang melanda parti itu kebelakangan ini terutama mereka yang menyertai Amanah.


Menurutnya, Pas masih mampu untuk berdiri teguh dalam meneruskan perjuangan Islam dan jumlah ahli baharu yang menyertai parti itu jauh lebih ramai berbanding mereka yang keluar daripada Pas.


Dalam majlis itu, turut diumumkan kemasukan ahli baharu Pas di Terengganu yang kini mencecah 4,198 orang dengan daerah Dungun mencatatkan bilangan tertinggi iaitu melebihi 1,000 ahli baharu diikuti 905 orang di Kemaman.

UTUSAN MALAYSIA