Friday, September 18, 2015

DEMI MUAFAKAT, TOLERANSI DAN KEMAJUAN



Pada Hari Malaysia ini, marilah mengimbau masa silam untuk mendalami perjalanan negara kita dan kemajuan yang telah dicapai.
Sesungguhnya, kita seharusnya berbangga sebagai rakyat sebuah negara yang kian berkembang maju. Sejak penubuhan Malaysia beberapa dekad yang lalu, negara telah menempa kejayaan dan kemajuan di peringkat antarabangsa, baik bagi sektor perdagangan dan diplomasi mahupun di arena sukan dan kebudayaan.
Warga Malaysia tanpa mengira lapisan umur, bangsa dan agama telah sama-sama bekerja keras dan banyak berkorban untuk mengecapi segala kejayaan ini, bukan sahaja sebagai individu malahan sebagai sebuah negara. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat hidup dalam keadaan yang begitu harmoni. Kepelbagaian warisan budaya kita merupakan aset yang ternyata bernilai, lebih-lebih lagi semasa keutuhan budaya kita kini diuji.
Tidak dapat dinafikan bahawa tatkala kita berusaha untuk mencapai status negara maju dan seiring dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda, masih terdapat banyak yang perlu dilakukan. Kini, di saat negara kita berada di persimpangan, kita seharusnya lebih tegas dalam menetapkan pendirian menentang ketidaktoleransi dan ekstrimisme dan juga sebarang perselisihan serta sikap tidak hormat.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan masing-masing dalam membentuk masa depan negara. Peranan ini antaranya termasuk saling bertolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain, berbuat kebaikan dan bertimbang-rasa terhadap semua kepercayaan dan budaya dan seterusnya, saling bekerjasama tanpa mengambil kira apa jua perbezaan antara kita.
Demi kebaikan bersama rakyat dan negara, kita harus mengetepikan unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan rakyat. Warga Malaysia dari segenap lapisan masyarakat harus mengatasi segala cabaran ini untuk terus maju ke hadapan sebagai rakyat Malaysia yang harmoni dan bersatu.
Selamat Hari Malaysia.


No comments:

Post a Comment