Friday, September 18, 2015

Pembentukan Malaysia dan Peruntukan Kontrak Sosial dalam Perlembagaan Persekutuan 1957:

 Suatu Analisa (Datuk A.Halim Sidek & Dr Muhammad Rozi Malim)

Dalam konteks Negara Malaysia, kontrak sosial merupakan satu bentuk permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan pemimpin tiga kaum terbesar negara iaitu Melayu, Cina dan India dengan persetujuan Raja-raja Melayu dan kerajaan British pada ketika itu. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mewakili tiga kaum terbesar negara iaitu UMNO, MCA dan MIC. Kontrak sosial ini merupakan watikah asas keadilan sosial di negara ini yang merangkumi pembahagian ekonomi secara adil dan saksama serta kenikmatan kekayaan negara yang sama rata di antara kaum. Kontrak sosial ini
juga telah menjadi asas kepada perpaduan yang terjalin di kalangan kaum yang dinikmati oleh rakyat di Malaysia selama ini.

Asas persetujuan kontrak sosial ini bersandarkan sifat bertolak ansur antara kaum yang memasuki kontrak dengan mengamalkan konsep memberi sesuatu dan memperolehi sesuatu. Ini seperti yang pernah diperkatakan oleh Tuanku Abdul
Rahman Perdana Menteri Malaysia yang pertama:
“Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu.

Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbuat oleh orang Melayu. Sesungguhnya ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf
di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.”13

Antara elemen penting kontrak sosial ini adalah orang Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan dengan memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan pribumi. Sebagai balasan kepada
kelonggaran syarat kerakyatan ini kaum Cina dan India telah bersetuju untuk memberikan perlindungan hak-hak istimewa yang tertentu kepada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak. Ini adalah satu bentuk perjanjian yang menampakkan
pengorbanan dalam memberi sebahagian hak mereka dan menghormati sebahagian hak kaum lain demi untuk keseimbangan, perpaduan dan keharmonian kehidupan
masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

No comments:

Post a Comment