UMNO memerlukan lebih ramai pemimpin dan calon pemimpin yang memiliki kriteria mudah disenangi serta boleh menyesuaikan diri dengan rakyat dan persekitaran bagi memastikan parti itu dapat meraih kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi rakyat, adalah penting untuk mempunyai pemimpin yang boleh membantu mereka dalam apa jua keadaan tanpa mengira masa terutamanya ketika ditimpa bencana.
“Macam mana nak jadi likeable (disenangi)...kita kena beri service (perkhidmatan) kepada rakyat dalam apa jua keadaan.
Kalau UMNO berjaya tonjolkan pemimpin dan bakal calon yang mempunyai ciri-ciri seperti ini, maka peratusan kita untuk menang adalah lebih tinggi,” katanya.
Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Temerloh dan Jamuan Rakyat di Dataran Datuk Bahaman, Lanchang dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalannya yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin.
Terdahulu, Perdana Menteri disambut meriah oleh lebih 5,000 hadirin serta pemimpin dan anggota UMNO Bahagian Temerloh. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment