Sunday, August 30, 2015

Bersatu Demi Malaysia yang Lebih Kukuh

Bersatu Demi Malaysia yang Lebih Kukuh

Selamat Hari Merdeka kepada seluruh warga Malaysia.

Hari ini merupakan hari penghormatan di atas segala pengorbanan dan jerih payah para pejuang dan bapa kemerdekaan kita dalam membina asas negara yang kita cintai ini. Pada hari ini juga kita mengiktiraf mereka yang terus memperjuangkan nilai-nilai asas perpaduan, keharmonian dan penerimaan seiring dengan tema sambutan Merdeka tahun ini iaitu Sehati Sejiwa.

Sejak merdeka, kita telah membuktikan kekuatan kita sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, tradisi, budaya dan kepercayaan. Kebelakangan ini, kita sering diuji dengan pelbagai ujian mendatang dan cabaran ekonomi. Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama kita imbau kembali azam dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi yang telah dipamerkan oleh para pengasas negara yang terdahulu. Kita harus percaya bahawa selagi kita bersatu hati dan teguh bersama, semestinya kita akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan sebagai sebuah negara berdaulat.

Oleh itu, marilah kita berdiri bersama, seluruh warganegara rakyat Malaysia, tua dan muda, tanpa mengira bangsa dan kedudukan sosial, dengan azam yang jitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.



Kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini. Daripada terpedaya dengan anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan Malaysia, marilah kita sebaliknya mengekang perasaan curiga dan segala unsur perpecahan sambil berusaha bersama-sama untuk membina sebuah negara yang lebih mapan, baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan melindungi kepelbagaian budaya kita yang merupakan khazanah bangsa dalam usaha kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju dan matang.

Sekali lagi, Selamat Hari Merdeka saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kepada mereka yang bercuti pada hujung minggu ini, semoga selamat dalam perjalanan dan berhati-hati di jalan raya.


No comments:

Post a Comment