Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, Azrul Akmal Saharudin berkata, aktiviti melibatkan penyalahgunaan lesen pusat hiburan keluarga (PHK) adalah di bawah bidang kuasa PBT untuk meluluskan dan membenarkan pembaharuan lesen.

Katanya, PBT bertanggungjawab untuk memastikan setiap lesen yang diluluskan memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan termasuk memantau sebarang aktiviti ‘tersembunyi’ di kesemua premis PHK.

“Menyentuh aspek pemantauan, setiap pemeriksaan yang dilakukan di premis-premis berkenaan perlu diiringi pegawai integriti bertauliah kerana kita tidak mahu adanya penyelewengan atau salah guna kuasa.

“Dilema pegawai penguat kuasa ada dua, antara diugut atau dibeli. Kalau pegawai terbabit bertindak bijak dan berupaya menolak kedua-dua pilihan itu, tentu tidak timbul isu integriti lemah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Jelas Azrul Akmal, penglibatan pegawai integriti bertauliah ketika melakukan pemeriksaan di kedai-kedai terbabit akan mengurangkan risiko amalan rasuah yang didakwa menjadi punca kegiatan perjudian haram sukar dihapuskan.

“Nak pantau kena ramai-ramai, tak boleh seorang saja. Kalau semua agensi ambil bahagian dan mainkan peranan masing-masing, tentu tauke kedai tak berani sogok apatah lagi nak ugut.

“Sehubungan itu, Perkasa mencadangkan supaya kita wujudkan satu persidangan khas untuk himpunkan semua pihak yang berkaitan, duduk semeja dan bincangkan tugas serta tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, persidangan khas itu bukan sahaja melibatkan agensi penguat kuasa tetapi mengumpulkan pemimpin masyarakat, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Apabila mereka sudah tahu tanggungjawab masing-masing, tidak wujud isu pertindihan kuasa ataupun menuding jari siapa yang tidak buat kerja.

“NGO-NGO juga sedia membantu penguat kuasa melakukan pemeriksaan bersama jika mereka kekurangan anggota. Jika kita bekerjasama erat, langkah membanteras gejala ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan,” ujarnya.