Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiga skim itu ialah Program Pelajar Cemerlang, Program Sarjana Muda Tempatan serta Program Lepasan Ijazah dan Profesional yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan semasa.


Katanya, Program Pelajar Cemerlang dan Program Sarjana Muda Tempatan adalah lanjutan daripada program sedia ada, manakala Program Lepasan Ijazah dan Profesional pula ditawarkan dengan kerjasama Bank Rakyat dan Maybank.


“Melalui Program Lepasan Ijazah dan Profesional, Mara akan bekerjasama dengan Bank Rakyat dan Maybank dalam menyediakan dana pinjaman kepada belajar. Ia melibatkan kontrak antara tiga pihak iaitu pelajar, Mara dan bank terbabit.


“Bagi dua lagi skim program itu, pelajar perlu mendapat tawaran daripada universiti terkemuka luar negara berasaskan Top 50 University Rankings atau berdasarkan subjek yang kurang diambil seperti perakaunan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mara Perkenal Dasar Pembiayaan Baharu Pelajaran di Ibu Pejabat Mara di sini hari ini.


Annuar berkata, skim itu merupakan satu alternatif Mara untuk menambah dana supaya tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata dan pelajar boleh memohonnya mulai 1 Julai ini.


Katanya, langkah itu juga bagi mengatasi keadaan semasa termasuk kenaikan nilai matawang asing berbanding Ringgit menyebabkan kos pembiayaan meningkat sehingga boleh mengurangkan bilangan pembiayaan pelajar.


“Setiap tahun Mara memerlukan RM2 bilion bagi membiayai pelajar dalam dan luar negara dengan membabitkan 500,000 pelajar yang telah mendapat manfaat daripada dana yang diperuntukkan kerajaan itu,” ujarnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Annuar mengumumkan kadar bayaran balik pinjaman pelajar tajaan Mara meningkat sehingga mence­cah RM140 juta setahun.


Perkembangan positif itu katanya, banyak dibantu oleh anak syarikat Mara iaitu Rural Capital Sdn. Bhd. yang membuat susulan pungutan balik daripada peminjam.