Wednesday, June 24, 2015

JAKEL SASAR JUAL SEJUTA PASANG KOLEKSI



SYARIKAT tekstil terbesar, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) menyasarkan jualan sebanyak sejuta pasang koleksi pakaian mereka sepanjang Ramadan tahun ini.

Dengan mengekalkan harga berpatutan dan murah, Jakel turut menawarkan pelbagai promosi termasuk diskaun sehingga 70 peratus. 

Pengarah Operasi Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel berkata, pelbagai koleksi pakaian disediakan untuk pilihan pelanggan dengan dengan promosi harga runtuh dan lelongan.

“Saya percaya jualan tahun ini meningkat dengan kempen terbaharu kami 'Penjunam Harga' yang diadakan di seluruh negara.



“Selain promosi yang diadakan, sempena musim perayaan ini, harga-harga pakaian dan koleksi lain dijual dengan harga lebih murah berbanding biasa,” katanya.

Mohamed Nizam berkata, Jakel sentiasa menekankan kualiti jahitan dan fabrik supaya pelanggan akan berpuas hati ketika membeli.

“Setiap tahun, kami lakukan peningkatan dan menjaga kualiti. Kami akan pastikan tahun ini akan lebih baik berbanding tahun sebelum-sebelum ini selain jualan pada harga cukup murah.

“Kami menyediakan pelbagai fabrik mengikut keselesaan pelanggan, paling penting kalis peluh,” katanya.

Mohamed Nizam berkata, koleksi Baju Melayu Aaron Aziz dijual sebanyak 1,500 pasang dalam tempoh 30 minit dan ia merupakan kejayaan yang amat membanggakan Jakel.

"Seperti saya katakan, kami yakin dengan sasaran kami untuk meningkatkan jualan kami setelah melihat momentum pembelian setiap tahun yang memberangsangkan, dan menyasarkan jualan lebih tinggi daripada tahun lalu," katanya.

Rekaan lebih trendy

Bukan hanya Aaron Aziz, malah Jakel melantik seorang lagi duta baharu iaitu pelawak popular, Nabil Ahmad.

Pemilihan Nabil adalah untuk menarik lebih ramai golongan muda.

"Baju Melayu Nabil Ahmad dijual bermula pada harga RM89 dan ia direka khas untuk golongan muda dan hipster.

"Koleksi tersebut mempunyai empat kualiti dengan 126 warna yang menarik," katanya.

Dalam pada itu, koleksi baju kurung Rozita Che Wan tampil dengan 39 rekaan dilengkapi 147 warna serta pelbagai saiz.


"Jakel meraikan semua golongan, daripada lelaki, wanita hinggalah kanak-kanak. Untuk koleksi terkini baju kanak-kanak pula, kami memilih karakter Upin Ipin.

"Didatangkan untuk lelaki dan perempuan, ia bermula dari saiz kosong sehingga 13 tahun dan harga mengikut saiz serendah RM75 sepasang,” katanya.

Beliau berkata, koleksi Baju Melayu Aaron Aziz yang kini sudah tiga tahun di pasaran antara yang mendapat sambutan paling menggalakkan.

“Ternyata pemilihan Aaron Aziz sebagai duta Jakel berbaloi kerana dia seorang yang komited terhadap kerjanya.

“Bahkan dia juga memenuhi kriteria dan ciri-ciri pihak Jakel mahukan selain mempunyai bilangan pengikut yang sangat ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment