Wednesday, June 24, 2015

FILEM BUKIT KEPONG BERWAJAH BARU



Filem Bukit Kepong diberi nafas baru dalam bentuk HD. Mengambil masa selama 3 bulan dengan kos RM100,000 untuk membaik pulih, ditambah dengan kesan bunyi, warna dan kualiti gambar seolah-olah filem ini baru habis pengambaran. 

Bakal ditayangkan pada hari kemerdekaan ke 58 di panggung wayang dan pawagam.

Jom saksikan filem yang menjadi igauan ngeri Parti Komunis Malaya dan keturunan mereka.

KUMPULAN Syarikat KRU mengambil inisiatif membaik pulih dan memberi nafas baru kepada filem epik Bukit Kepong yang bakal ditayangkan menerusi versi definisi tinggi (HD) pada bulan kemerdekaan ke-58.

 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, filem itu akan ditayangkan di pawagam serta wayang di dalam taman.

“Kita berusaha menyelamatkan kandungan filem tersebut. Kerja rumit ini dijalankan dengan penuh teliti selama tiga bulan dengan proses pemulihan filem yang menelan kos kira-kira RM100,000,” katanya.

Norman berkata, pihaknya juga melakukan kerja ‘digital remastering’ bagi visual dan audio filem yang diterbitkan oleh Jins Shamsudin Productions pada tahun 1981.

“Kami mendapati keadaan filem negatif berkenaan tidak begitu baik dimana filemnya telah melekat dan tidak boleh diimbas.

“Ia perlu melalui beberapa proses yang agak lama di makmal bagi membersihkannya dengan menggunakan bahan kimia,” katanya.


Menurutnya, selain filem ini dinaik taraf ke HD, mutu audio juga dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo.

“Kita turut menambah kesan khas bunyi, selain itu kualiti warna turut dipertingkatkan seolah-olah filem ini baru menjalani penggambaran,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman tayangan filem Bukit Kepong versi HD, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Filem Bukit Kepong melambangkan semangat juang anggota polis yang terkorban dalam mempertahankan maruah dan menyelamatkan tanah air daripada dijajah oleh pengganas komunis pada 23 Februari 1950.

Filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia berjaya meraih tujuh anugerah termasuk Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia 3.  

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, filem ini mampu menarik minat generasi muda bagi memupuk semangat patriotik.

“Pada masa yang sama ia dapat memberi kefahaman kepada orang muda tentang pengorbanan anggota polis dari dahulu sehingga kini,” katanya.

No comments:

Post a Comment