Mohamad Noor
Hasilnya, Pas Wilayah Persekutuan tampil sebagai ‘anak jantan’ apabila melabelkan Guan Eng sebagai ‘tidak siuman’ berikutan tindakannya memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi mengekalkan kerjasama dengan Pas.

Menyifatkan kenyataan Guan Eng sebagai biadab, Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad berkata, Pas Wilayah Persekutuan akan memutuskan kerjasama dengan DAP Kuala Lumpur dan Labuan sebagai tindak balas terhadap kenyataan parti tersebut.

“Kami melihatnya sebagai tindakan biadab dan tidak reti bahasa. Kenyataan itu dikeluarkan oleh orang yang sudah tidak siuman kerana mana mungkin memutuskan hubungan dengan Presiden tetapi masih mengekalkan hubungan dengan Pas?

“Bukankah itu tidak profesional? Hanya orang yang tiada akal sahaja boleh bercakap begitu. Kalau nak kekalkan hubungan dengan Pas, mesti kekalkan hubungan dengan Presiden kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selasa lalu, Guan Eng ketika memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi menuduh Presiden Pas itu sebagai tidak bermaruah, tidak jujur dan pengkhianat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan undang-undang mengenai hudud.

Bagaimanapun, semalam Abdul Hadi pula tampil ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Guan Eng apabila menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu tidak lebih umpama 'peluru kosong’ yang tidak sedikit pun menjejaskan beliau.

Mengulas lebih lanjut, Mohamad Noor berkata, beliau percaya, sikap biadab yang ditunjukkan DAP sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada sikap 'besar kepala’ parti itu berikutan menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu.

“Tetapi DAP kena ingat, sebahagian kemenangan mereka adalah kerana sokongan ahli Pas, jangan terlalu yakin dalam pilihan raya umum akan datang, jika ahli Pas tidak menyokong, DAP tidak akan mungkin menang seperti sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan pula, beliau berkata, Pas Wilayah Persekutuan menyokong penuh kepemimpinan Abdul Hadi sebagai Presiden dan melihat tiada pemimpin Pas lain pada masa ini mampu menggantikan tempat Ahli Parlimen Marang itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa DAP supaya berhenti daripada menjadi ‘penaja’ kepada calon-calon tertentu dengan matlamat untuk menggulingkan Abdul Hadi kerana yakin, seluruh ahli Pas akan berdiri teguh di belakang Presiden parti tersebut.

“Kami melihat DAP cuba taja pemimpin tertentu dan ini satu perbuatan campur tangan dalam rumah tangga Pas, tetapi kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kepemimpinan tuan guru dipertahankan pada pemilihan nanti,” katanya.