Friday, February 6, 2015

MISI BANTUAN PASCA BANJIR YPPM KE TEMERLOH


TEMERLOH – Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Dato’ Dr Mashitah Ibrahim baru-baru ini telah menuju ke Temerloh Pahang bagi menyumbangkan bantuan kepada beberapa sekolah Pondok yang dilanda bencana banjir terbesar dalam sejarah negeri Pahang. Antara pondok yang diberi bantuan ialah Madrasah An Najah ( Bukit Keledang, Triang) dan MadrasahRaudhah Al-Muhibin.
Dato Dr Mashitah Ibrahim berkata, bantuan yang disalurkan mengambil kira keadaan sekolah pondok yang terjejas teruk akibat banjir. "Saya difahamkan dua Madrasah tersebut ditengelami air sedalam enam meter sehinggakan struktur bangunan dan barang keperluan pelajar rosak teruk," katanya dalam majlis Penyampaian Sumbangan Pasca Banjir di Chenor dan Triang , di Temerloh Pahang, Rabu 4 Januari 2015.
Pada majlis yang sama, YPPM telah menghulurkan bantuan yang amat diperlukan bagi membina semula struktur pondok terbabit antaranya atap zink, prabong, serta keperluan asas lain seperti  tong gas, tilam, buku log dan kitab-kitab  bagi meringankan beban pelajar dan pihak pengurusan pondok berkenaan.
Dato’ Dr Mashitah, turut berkesempatan meninjau keadaan Madrasah An Najah yang terbakar baru-baru ini. Menurut pihak berkuasa Bomba, taksiran sebenar kerugian dan punca kebakaran tidak dapat dipastikan lagi. Namun begitu tiada kehilangan nyawa dan kecederaan dilaporkan.
 Menurut pihak pengurusan Pondok tersebut, terdapat empat unit tempat penginapan pelajar lelaki di Madrasah An Najah yang terbakar, "ini benar-benar menguji kesabaran ketabahan kami selepas dilanda musibah banjir," tambah Mudirnya Haji Mohammad Ilias.
Barang-barang keperluan tersebut diserahkan masing-masing kepada Mudir Haji Mohammad Ilias (pondok An Najah, Triang) dan Ustaz Barakallah (pondok Pak Kob, Seberang Chenor).
Apa yang menarik perhatian ialah, semasa Dato Dr. Mashitah Ibrahim meninjau keadaan pondok Pak Kob, beliau tiba-tiba dikerumuni pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan yang ketika itu sedang menjalankan kerja amal mengecat pondok tempat tinggal pelajar lelaki untuk bergambar kenang-kenangan bersama beliau.
Hadir sama pada misi bantuan pasca banjir YPPM ialah Pengarah Operasi YPPM, Haji Juhaidi Yean Abdullah. 

No comments:

Post a Comment