Tuesday, February 3, 2015

Isu Pilihanraya PBT : Satu Pandangan - Ir Hafiz Mansor

Kesejahteraan rakyat kadang kala diukur dengan sejauhmana kepimpinan dalam sesebuah lokaliti itu menjalankan amanah dan berdedikasi terhadap tugas dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Itu asas yang mesti dipegang. Manakala kesejahteraan yang dimaksudkan bukan hanya terletak kepada kemajuan ekonomi dan materialnya semata-mata, malah perlu dirangkumkan bersama aspek sosial bermasyarakat dan akhlak yang mulia.
Isu pilihanraya PBT bukan perkara asing untuk diperbahaskan. Ia sudah pun melingkari warna-warni sejarah negara kita kira-kira lima puluh tahun lampau. Bekas sejarah itu telah lama terpadam dan kini, ia kembali terusik.
Namun, perlu dipertegaskan di sini, isu PBT yang berlegar hari ini tidak berasas kepada pertembungan PAS dan DAP, tidak juga kepada Melayu dan Cina. Ia adalah pertembungan pendapat untuk mencari ramuan terbaik kepada rakyat dan keadilan di negara kita, demi mencapai ke arah yang lebih baik.
Pilihanraya PBT telah dimansuhkan apabila berlakunya Konfrontasi Indonesia-Malaysia yang berlaku secara tepatnya pada Januari 1963, kesan daripada permusuhan Indonesia terhadap pengaruh British yang kuat di Tanah Melayu. Kerajaan Negeri masing-masing memindahkan tugas PBT kepada agensi kerajaan. Pemansuhan itu dilakukan melalui kaedah perundangan darurat iaitu ‘Emergency (Essential Powers) Act (1964)’ iaitulah Emergency (Suspension of Local Government Election) Regulations (1965)’ dan ‘Amendments.’
Secara tidak langsung, PBT berubah daripada proses pilihanraya kepada proses pemilihan dan lantikan dan ia berkuatkuasa sehingga ke hari ini. Isu mengenai keharusan mengadakan semula pilihanraya kerajaan tempatan kembali diperdebatkan beralaskan alasan menyebarkan ruang demokrasi di peringkat yang lebih kecil.
Namun, beberapa perkara perlu diteliti sebelum ia diperbahaskan dengan lebih lanjut. Pertama, bentuk demokrasi yang bagaimana yang ingin diketengahkan sebahagian pihak? Walaupun dari satu sudut dakwaan itu ada asasnya, namun, adakah pilihanraya PBT benar-benar mampu membawa kepada makna demokrasi itu secara tuntas?
Hakikatnya, kita berhadapan dengan ‘democratic deficit’ masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional yang menyebabkan walaupun timbul isu-isu penyelewengan kerajaan yang memerintah saban tahun, ia tidak pernah mampu berjaya menukar kedudukan mereka sebagai kerajaan. Suatu yang perlu diperhalusi adalah masyarakat hari ini masih lagi kurang aktiviti demokrasi, kurang kemahuan legitimasi untuk menterjemah pendirian ke dalam tindakan di atas kertas undi di peringkat negeri dan nasional, apatah lagi di peringkat kerajaan tempatan yang lebih kecil skopnya.
Tambahan pula, penyelewengan terhadap pilihanraya di peringkat negeri dan nasional tidak mampu ditangani dengan baik, inikan pula diperingkat kerajaan tempatan seperti yang dicanangkan pihak tertentu. Mampukah kita berhadapan penyelewengan jika ia berada pada skala yang lebih mengecil dan meluas seperti di peringkat kerajaan tempatan?
Seperkara yang perlu diperhatikan adalah soal kecekapan dalam pengurusan, rasuah, salah urus kewangan yang berlaku di dalam sistem demokrasi hari ini. Ia adalah perbincangan subjektif tetapi kewaspadaan terhadapnya perlu ada. Selain melebarkan jurang perkauman di antara bandar dan luar bandar, ia nyata bukan pendekatan terbaik untuk memperbaiki sistem demokrasi yang sedia ada.
Dari satu sudut, saya melihat Kerajaan Pulau Pinang dengan kuasa yang ada berhak untuk melantik ahli majlis yang diyakini mempunyai integriti dan sebaliknya tidak memecat mereka yang berdedikasi dengan tugas. Maka, perbahasan mengenai kedudukan pilihanraya PBT sebenarnya seakan tidak perlu timbul sama sekali kerana kuasa di tangan mereka untuk melantik sesiapa yang dirasakan mempunyai kredibiliti di peringkat kerajaan tempatan. Apakah kerajaan tempatan di Pulau Pinang hari ini tidak menjalankan tugasnya dengan baik sehingga memerlukan kepada bentuk pilihanraya? Pilihanraya atau khidmat kepada rakyat yang utama?
Saya fikir bukan tempatnya yang tepat untuk mencadangkan pilihanraya kerajaan tempatan sebagai asas mengangkat tema pendemokrasian dikalangan rakyat. Keutamaan ketika ini adalah pengurusan yang ada dan beban struktur yang sedia ada tidak perlu ditambah. Saya bersetuju untuk tidak bersetuju!

No comments:

Post a Comment