Thursday, April 25, 2013

DAP JANGAN MIMPI JAWATAN PM, ITU HAK ORANG MELAYU


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pemimpin bukan Islam daripada parti sekutunya, DAP tidak layak menyandang jawatan pemimpin nombor satu negara kerana jawatan Perdana Menteri adalah hak mutlak orang Melayu beragama Islam.

Sebagai sebuah negara Islam katanya, sudah semestinya Perdana Menteri negara ini orang Islam bagi menjaga dasar-dasar yang berkaitan.

"Kalau di negara komunis, komunis pemimpinnya dan di negara kapitalis, kapitalislah pemimpinnya," katanya ketika menyampaikan ceramah di kediaman calon Pas bagi DUN Kuala Berang, Muhyidin Abdul Rasid di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, bagaimanapun mana-mana menteri daripada kalangan bukan Islam boleh memegang jawatan itu mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing.
"Ada menteri yang bukan Islam yang mahir bidang tertentu boleh dilantik jadi menteri dalam bidang masing-masing seperti kerja raya, galian tetapi nak lantik menteri bukan Islam untuk jaga masjid tak bolehlah," jelasnya.

Beliau seterusnya menolak dakwaan kononnya kerjasama Pas dengan DAP dalam pakatan pembangkang akan memberi peluang kepada pemimpin DAP dilantik sebagai Perdana Menteri.

Jelasnya, berdasarkan kesemua calon yang bertanding termasuk daripada BN atau pakatan pembangkang, tidak memungkinkan pemimpin DAP menjadi pemerintah.
"Daripada 222 kerusi Parlimen, BN tanding 221 kerusi, Pas 73 kerusi, DAP 50 kerusi dan PKR 99 kerusi.

"Pakatan pembangkang juga mengemukakan calon Islam Melayu seramai 145 orang, BN 131 orang manakala calon pakatan bukan Islam 77 orang, BN 91 orang. Jadi macam mana DAP nak perintah negara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment