Thursday, September 11, 2014

KUASA PRESIDEN DAN MAJLIS SYURA ULAMA – BERDASARKAN KERANGKA PERLEMBAGAAN PAS



Siri Pertama:-

1. Lujnah Undang-Undang Dan Hak Asasi (LUHAM) PAS Pusat melalui siaran media bertarikh 9/9/2014 telah menyiarkan pandangan perundangan berkenaan dengan kuasa Presiden & Majlis Syura Ulama (MSU) berdasarkan kerangka Perlembagaan PAS. Pada akhirnya, kenyataan LUHAM yang disokong sebulat suara oleh keseluruhan Ahli Lajnah tersebut tampil dengan satu kesimpulan – kononnya MSU Presiden tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah Fasal 26(1)(a) Perlembagaan PAS untuk menamakan calon Menteri Besar Selangor, melainkan mendapatkan persetujuan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Lantaran itu, pendirian MSU yang diputuskan melalui mesyuarat pada 7/9/2014 untuk mempertegaskan bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26(1)(a) – turut disifatkan oleh LUHAM sebagai silap dan tidak mempunyai asas perundangan dalam konteks Perlembagaan PAS.

2. Pada 5/9/2014, The Malaysian Insider (TMI) telah menerbitkan sebuah tulisan bertajuk “Majlis Syura Ulama beri contoh tak baik pada PAS”. Berdasarkan TMI, artikel tersebut ditulis oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat. Dewan Pemuda PAS Pusat turut juga memiliki Jabatan Undang-Undangnya sendiri – Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM). Namun sehingga kini, tiada apa-apa pendirian rasmi daripada JUHAM samada bersama menyetujui pendirian berdasarkan artikel TMI tersebut, atau tidak bersetuju atau sekurang-kurangnya menjarakkan diri dari tulis tersebut.

3. Kedua-dua pendirian undang-undang yang saya rujuk diatas, yang dinukilkan oleh teras minda undang-undang dalam PAS, mempunyai satu kesimpulan yang sama – bahawa Presiden PAS telah melangkah diluar batasan Perlembagaan PAS apabila bertindak sendirian mencalonkan 3 nama ke Istana Selangor bagi tujuan perlantikan Menteri Besar Selangor. Namun penulis artikel TMI kelihatan lebih radikal dan agresif apabila mencadangkan bahawa Presiden PAS perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib parti – yang boleh membawa natijah kepada samada digantung atau dilucutkan keanggotaan parti. Ringkasnya, Presiden boleh dilucutkan jawatannya, melalui perlucutan keanggotaan parti.

4. Atas premis perundangan yang diambil LUHAM berkenaan isu ini, dan untuk mengelakkan kekeliruan yang pastinya akan melebar bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli PAS bahkan pendokong diluar gelanggang, saya terpaksa menggagahkan diri untuk meneliti dengan tekunnya Fasal-Fasal yang berkaitan, dalam Perlembagaan PAS, lantas membetulkan beberapa kesilapan teras yang saya fikir telah dilakukan oleh LUHAM sewaktu tampil dengan kesimpulan perundangan tersebut. Sekurang-kurangnya tulisan ini akan mengayakan ruang perbahasan dan menyediakan penelitian alternatif terhadap pendirian rasmi Lujnah yang dipertanggungjawabkan oleh PAS dalam apa-apa urusan perundangan parti.

PERANAN DAN KUASA MAJLIS SYURA ULAMA

5. LUHAM memulakan asas perbahasannya dengan mengingatkan MSU bahawa MSU hanya mempunyai kuasa untuk menghurai, menafsir dan menjelaskan peruntukan Perlembagaan PAS dalam dua keadaan semata-mata:- Pertama jika wujudnya perselisihan faham, dan Keduanya – jika ada rujukan secara rasmi dibuat terlebih dahulu kepada MSU. Atas tafsiran ini, LUHAM berpendirian bahawa Fasal 8(1)(a) hendaklah dibaca bersama dengan Fasal 88(1). Bagi menjelaskan lagi pendirian itu, pada perenggan 7 dan 8 Kenyataan LUHAM tersebut, LUHAM tampil dengan kesimpulan bahawa kuasa MSU adalah kuasa atas rujukan (“referral”) dan bukan kuasa “of first instance” atau kuasa sedia ada (inherent).

6. Disinilah kesilapan asas yang mencemari keseluruhan pendirian LUHAM dalam penafsiran kuasa MSU, yang pada akhirnya membuat rumusan yang salah ke atas kuasa Presiden, berdasarkan kerangka Perlembagaan PAS.

7. Penelitian saya terhadap Perlembagaan PAS – Fasal 8(1)(a) adalah sangat jelas memberikan kuasa kepada MSU untuk menghurai, menjelas dan menafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan dalam perlembagaan yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

8. Fasal 8(1)(a) tidak pada bila-bila memperuntukan kriteria yang diletakkan oleh LUHAM – mesti wujud perselisihan faham mahupun keperluan rujukan rasmi untuk dibuat keputusan.

9. Fasal 8(1)(a) membawa maksud yang sangat jelas – bahawa MSU berhak bertindak pada bila-bila masa yang difikirkan perlu, atau bilamana wujudnya keadaan yang mendesak mempunyai apa-apa perakuan atau keputusan atau penghuraian atau penjelasan atau pentafsiran TANPA wujudnya perselisihan faham, apatahlagi rujukan bertulis. Keseluruhan Fasal 8 yang digubal khusus untuk memperincikan kuasa dan struktur organisasi MSU tidak pernah mensyaratkan mesti adanya rujukan/komplen/permintaan bertulis.

10. Perlu diingat bahawa MSU tidak berperanan seperti Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa berlainan bagi setiap satu peringkat Mahkamah (katakan: Mahkamah Tinggi – Mahkamah Rayuan – Mahkamah Persekutuan). MSU sifatnya adalah proaktif dan bukannya reaktif! Atas sifat itu kuasanya diperihalkan secara umum melalui Fasal 8(1) bagi menjamin Hukum dan Kekuasan PAS di bawah Fasal 7 dapat ditangani dengan berhemah dan bijaksana sesuai dengan tuntutan politik semasa berlandaskan keilmuan dan kepakaran ahli-ahli yang membentuk MSU.

11. Selanjutnya, berbalik kepada hujahan LUHAM bahawa kononnya Fasal 8(1)(a) perlu dibaca bersama dengan Fasal 88(1), dan tidak boleh dibaca secara berasingan!

12. Sekali lagi saya berpendapat bahawa pendirian LUHAM adalah jauh tersasar. Saya berpendapat Fasal 8 (Majlis Syura Ulama) dan Fasal 88 (Lain-Lain Perkara) adalah Fasal yang berasingan yang berdiri di atas sifatnya sendiri. Fasal 8 memperihalkan kuasa dan struktur MSU, manakala Fasal 88 memperihalkan Lain-Lain Perkara yang memerlukan campurtangan atau keputusan atau penglibatan MSU (sesuatu keputusan yang diminta oleh lain-lain pihak untuk MSU membuat keputusan). Jika dirujuk kepada Fasal 88(3), Fasal 88 boleh ditafsirkan membawa maksud sebarang pertikaian atau perselisihan ANTARA badan-badan, atau organisasi-organisasi, jawatankuasa-jawatankuasa, lajnah-lajnah didalam PAS (yang mana tidak boleh dibawa ke Mahkamah).

13. Maksudnya, Fasal 88 adalah kuasa rujukan atau rayuan kepada MSU yang diminta oleh lain-lain badan/jawatankuasa/lajnah dalam parti. Manakala Fasal 8 adalah kuasa induk MSU atas kapasitinya sendiri. Justeru sangat terang lagi bersuluh, Fasal 8 dan Fasal 88 adalah Fasal-fasal berasingan yang tidak terikat antara satu sama lain.

14. Untuk memudahkan lagi kefahaman, dalam keadaan wujudnya pertikaian antara Presiden dan sebahagian Jawatankuasa Pusat (dalam isu pencalonan Menteri Besar Selangor) – MSU boleh mengambil peranan dibawah Fasal 8(1)(a)/(b) serta Fasal 88(1) untuk membuat satu keputusan yang akan mengikat keseluruhan pihak-pihak yang terlibat.

15. Dalam suasana wujudnya percanggahan antara tindakan Presiden dan penafsiran Perlembagaan oleh LUHAM, MSU juga boleh mengambil peranan dibawah Fasal 8(1)(a)(b) atau Fasal 88(1) untuk memutuskan bahawa tindakan Presiden adalah tepat kerana mempunyai kuasa pemutus di bawah Fasal 26 (1).

16. Oleh itu, permulaan premis LUHAM yang menegaskan bahawa Fasal 8(1)(a) dan Fasal 88(1) hendaklah dibaca bersama adalah satu pendirian superimposed ke atas peruntukan Perlembagaan yang tidak wujud. Justeru jelas sekali LUHAM telah membuat satu tafsiran yang salah-arah (misconceived) atas kerangka Perlembagaan PAS yang sepatutnya dipertahankan!

17. Suatu perkara yang tidak langsung disentuh oleh LUHAM adalah kuasa MSU di bawah Fasal 88(1)(b) dan Fasal 88(2):-

17.1 Fasal 8(1)(a) – MSU berkuasa mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar itu dan ketetapan itu serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS

17.2 Fasal 88(2) – Majlis Syura Ulamak adalah berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan ini dengan syarat keputusan itu hendaklah tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan ini dan tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar.

18. Atas sebab yang hanya diketahui oleh LUHAM, kedua-dua Fasal 8(1)(b) dan Fasal 88(2) tidak langsung dirujuk sewaktu memberi penafsiran terhadap Perlembagaan PAS berkenaan kuasa dan peranan MSU.

19. Kedua-dua Fasal ini, terutamanya Fasal 8(1)(b) dengan jelasnya memberikan kuasa kepada MSU untuk mengeluarkan ARAHAN dan PERINTAH kepada semua organisasi parti, termasuk Presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat – apatahlagi kepada LUHAM sendiri!

20. Penelitian yang mendalam terhadap Perlembagaan PAS, terutamanya terhadap Fasal 8(1)(a) dan Fasal 88(1) – akan memberikan satu kesimpulan yang akan mengejutkan LUHAM – iaitu, kuasa mentafsir Perlembagaan PAS itu sendiri terletak dipundak MSU, dan bukannya LUHAM (walau pun LUHAM boleh dianggap sebagai penasihat undang-undang PAS). Maknanya, walau apa pun kepakaran undang-undang yang dimiliki LUHAM, hanya pentafsiran, penghuraian dan penjelasan MSU ke atas sesuatu peruntukan Perlembagaan PAS yang mempunyai nilai dan bersifat mengikat.

21. Oleh itu, apabila Majlis Syura Ulama bersidang pada 7/9/2014 dan memutuskan bahawa Presiden (dalam konteks pencalonan Menteri Besar Selangor) mempunyai kuasa pemutusan berdasarkan Fasal 26(1), maka itulah penafsiran, penjelasan dan penghuraian yang sebenarnya yang mengikat keseluruhan parti PAS – kecuali sehingga ia diputuskan sebaliknya oleh Muktamar.

22. Mudahnya, MSU tidak pernah bertindak diluar batas Perlembagaan PAS. Sebaliknya dengan kenyataan media LUHAM pada 9/9/2014 (selepas sidang MSU pada 7/9/2014) yang secara terbuka menyerang pendirian badan tertinggi dalam parti - adalah pihak yang melampaui batas berdasarkan kerangka Perlembagaan PAS.

....bersambung (akan turut diulas – Kuasa Presiden dalam pencalonan Menteri Besar Selangor dan Mandat Muktamar PAS berkenaan Tahalluf Siasi).

Wan Rohimi Bin Wan Daud
Peguambela & Peguamcara
Kuala Lumpur