Sunday, August 10, 2014

Ambil Tindakan Tegas Terhadap Pembocor Rahsia dan Pimpinan Yang Sanggah Keputusan Parti


Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan mendesak supaya tindakan disiplin yang tegas dan keras dikenakan ke atas pimpinan yang membocorkan perbincangan dalaman parti melalui print screen dalam kejadian baru-baru ini.
Ianya merupakan perbuatan terkutuk yang melanggar etika agama dan disiplin parti. Apatah lagi sekiranya individu yang terlibat adalah mereka yang bertaraf pimpinan. Tindakan mesti diambil agar ianya menjadi iktibar kepada generasi pelapis yang seterusnya.
PAS Wilayah Persekutuan juga sebulat suara mendesak agar tindakan disiplin yang keras diambil ke atas mana-mana pimpinan PAS yang bertindak menyanggah keputusan parti atau boleh ditafsirkan sebagai melakukan penghinaan kepada PAS , Majlis Syura Ulamak PAS atau Presiden dan Mursyidul Amnya.
PAS Wilayah Persekutuan memandang serius terhadap kenyataan-kenyataan pimpinan tertentu yang sejak kebelakangan ini yang dilihat sebagai menyanggahi keputusan yang telah diambil oleh parti. Bahkan sebahagiannya boleh ditafsirkan sebagai penghinaan yang mengaibkan kredibiliti PAS, Majlis Syura Ulamak, Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am sendiri yang mengetuai gerakan Islam yang terulung di negara ini.
Kami juga memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan cuba mempengaruhi mana-mana ahli PAS supaya memusuhi institusi Majlis Syura Ulamak PAS serta tubuh badan Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am PAS.
PAS Wilayah Persekutuan juga menggesa supaya seluruh jentera parti di semua peringkat agar terus menjadikan tarbiah sebagai agenda utama parti supaya agenda Islam dapat terus diperkukuhkan dalam parti ini seterusnya dapat menggagalkan sebarang bentuk usaha yang cuba menggoyahkan PAS.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan,
Hj Mohamad Nor Mohamad,
9hb Ogos 2014

No comments:

Post a Comment